KOTA KINABALU: Seluruh atlet, jurulatih, pengurus dan pegawai kontinjen Sabah diingatkan supaya sentiasa menjaga akhlak, disiplin serta semangat kesukanan sepanjang penyertaan pada Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA 2026 di Selangor kerana membawa imej serta nama baik negeri di pentas kebangsaan.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kejayaan kontinjen bukan hanya diukur melalui pencapaian pingat, malah turut dinilai menerusi sahsiah, disiplin dan teladan yang ditunjukkan sepanjang temasya berlangsung.
“Selain kita memberi persembahan yang terbaik dalam semua jenis sukan yang kita sertai, kita juga berharap agar semua atlet, semua pengurus, semua jurulatih dan semualah ahli-ahli dalam kontinjen Sabah ini dapat menjaga disiplin mereka.
“Apabila kita mewakili Negeri Sabah ke sesuatu tempat, maka sebenarnya kita membawa nama Negeri Sabah itu. Oleh hal demikian, kita harus menunjukkan akhlak kita yang terbaik, teladan yang terbaik dan mengikut apa juga arahan serta disiplin yang harus kita patuhi.
“Semangat kesukanan itu harus kita terapkan dalam diri setiap atlet kita dan jagalah nama baik negeri kerana ini juga sebenarnya akan menjaga nama baik diri kita sendiri, keluarga kita dan juga seluruh rakyat Sabah,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Amanat Ketua Menteri kepada atlet SUKMA dan Para SUKMA Sabah, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Nizam merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor atas amanat dan kata-kata semangat yang disampaikan kepada atlet, yang disifatkannya mampu meningkatkan motivasi kontinjen menjelang temasya sukan itu.
Beliau berkata, kerajaan negeri meletakkan harapan kepada semua atlet tanpa mengira jenis sukan untuk memberikan persembahan terbaik dan menyumbang pingat emas kepada Sabah.
Menurutnya, berdasarkan pemerhatian terhadap persiapan atlet, beliau optimis dengan tahap keyakinan dan semangat yang dipamerkan kontinjen Sabah menjelang saingan di Selangor.
“Saya melihat daripada body language dan juga respon atlet-atlet Sabah pada tahun ini begitu memberangsangkan. Mereka tidak kelihatan tertekan, malah lebih yakin, lebih selesa dan ceria. Ini petunjuk bahawa mereka benar-benar komited untuk memberi persembahan yang terbaik,” katanya.
Beliau turut mendoakan agar semua atlet berada pada prestasi terbaik ketika pertandingan berlangsung sekali gus berjaya mencapai sasaran menghadiahkan pingat emas kepada Sabah pada SUKMA dan Para SUKMA 2026.






