PALESTIN – Seorang wanita Palestin berusia 85 tahun berjaya menggenggam ijazah selepas menamatkan pengajiannya daripada Kfar Bara Center for Islamic Studies.
Jihad Butto yang juga ibu kepada TUJUH (7) orang anak ini membuktikan ilmu tidak mengenal usia yang mana sesiapa sahaja mampun menggampainya selagi usaha dilakukan berterusan.
Semangat dan usaha Butto telah menjadi inspirasi dan contoh terbaik di negara itu yang membuktikan ilmu merentasi masa dan usia, siapa sahaja boleh mendapatkannya.
Mengenang kisah lamanya, Butto yang tidak begitu bernasib baik apabila terpaksa berhenti belajar pada tahun 1948 (ketika usianya 12 tahun), namun cintanya kepada ilmu tidak pernah padam.
Butto mula memasuki institut itu empat tahun lepas, ketika usianya 81 tahun dan dia mengambil kursus bahasa, agama dan matematik.
“Saya pernah ada peluang untuk belajar. Bila saya dengar ada peluang untuk menimba ilmu, saya terus pergi…
“Sebelum saya memohon untuk ke Kfar Bara, orang di sekeliling saya tahu bagaimana saya cintakan pendidikan dan saya selalu membaca buku.
“Ada yang beritahu saya tentang sijil Kfar Bara dan tanya kalau saya mahu menyertainya. Saya kata di mana sahaja ada ilmu, saya pasti akan pergi,” katanya seperti dilaporkan Reuters.
Sebaik memasuki pusat pengajian itu, dia tidak lagi menoleh ke belakang, terus memacu ke depan sehingga memperoleh ijazah pada usia 85 tahun.
“Guru-guru banyak bercakap mengenai saya. Mereka juga menjadikan saya contoh buat pelajar lain. Bila saya graduasi, ada orangber tanya kepada Dekan, adakah mereka membantu saya?
“Dekan kata tidak, malah dia kata saya sebenarnya banyak membantu pelajar lain dalam pelbagai topik,” ujarnya.