Pengetua Sekolah Menengah Diseru Sokong Program Kebun Sekolah, Perkukuh Keterjaminan Makanan

Pengetua Sekolah Menengah Diseru Sokong Program Kebun Sekolah, Perkukuh Keterjaminan Makanan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar menyeru semua pengetua sekolah menengah di Sabah agar menyokong pelaksanaan Program Kebun Sekolah sebagai usaha memperkukuh pendidikan berkaitan keterjaminan makanan, keselamatan makanan serta memupuk minat pelajar terhadap bidang pertanian.

Beliau berkata, kementeriannya bercadang memperkasakan inisiatif itu mulai tahun depan menerusi kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), selain menggalakkan sekolah memanfaatkan kawasan lapang bagi mengusahakan tanaman yang mampu menjana pendapatan.

Saya memohon kerjasama antara kementerian kami, Kementerian Pendidikan dan persatuan pengetua untuk memperkasakan program berkaitan keterjaminan makanan, keselamatan makanan serta kesediaan menghadapi pelbagai cabaran pada masa hadapan, khususnya dalam keadaan dunia yang tidak menentu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Persatuan Pengetua Sekolah Menengah Negeri Sabah dan Persatuan Pengetua Wilayah Persekutuan Labuan di Hotel Klagan, One Borneo, pada malam Sabtu.

Jamawi berkata, walaupun kementeriannya tidak dapat melaksanakan program secara terus di sekolah berikutan prosedur operasi standard (SOP) serta kekangan menyalurkan peruntukan, pihaknya bersedia menyediakan bantuan teknikal, khidmat nasihat dan sokongan menerusi agensi di bawah kementerian seperti Pejabat Pertanian Daerah, Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) dan Korporasi Pembangunan Desa (KPD).

Sebagai simbolik kerjasama, beliau berkata pegawai kementeriannya akan menyerahkan tiga anak pokok buah-buahan kepada setiap sekolah yang diwakili pengetua pada konvensyen berkenaan.

“Ini sebagai tanda permulaan kerjasama kami dengan pihak sekolah. Saya harap pengetua dapat membawa pulang anak pokok ini dan menguar-uarkan kepada warga sekolah bahawa kita mahu menghidupkan semula budaya berkebun di sekolah,” katanya.

Menurut Jamawi, kebanyakan sekolah mempunyai kawasan yang sesuai serta pekerja kebun yang mampu membantu menguruskan tanaman yang berpotensi menjadi sumber pendapatan kepada sekolah.

Beliau berkata, pengalaman di enam sekolah angkatnya di Tenom membuktikan projek tanaman buah-buahan mampu memberikan pulangan ekonomi.

Antaranya, Sekolah Menengah Chung Hwa Tenom kini mempunyai kira-kira 800 pokok avokado yang telah mula mengeluarkan hasil, dengan setiap pokok berpotensi menjana pendapatan sekitar RM300 pada peringkat permulaan.

Sebuah lagi sekolah angkatnya, Sekolah Menengah Tsung Tsin Tenom, turut mengusahakan kira-kira 500 pokok durian dan avokado.

Jamawi berkata, pelaksanaan Program Kebun Sekolah akan diselaraskan menerusi satu pekeliling bersama JPNS bagi memastikan pelaksanaannya lebih tersusun dan seragam di seluruh negeri.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengarah Pendidikan Sabah, para pengetua serta mantan pengetua yang hadir menjayakan konvensyen bertemakan “Pengetua Pemacu Lonjakan Pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2031.