Penyambungan Paip Transmisi, Punca Air Berbau dan Bertukar Warna ‘Milo’

Penyambungan Paip Transmisi, Punca Air Berbau dan Bertukar Warna ‘Milo’

0
SHARE
Foto: Media Sosial

KOTA KINABALU: Kerja-kerja penyambungan paip transmisi oleh kontraktor di persimpangan Menggatal menjadi punca bekalan air sekitar kawasan Rampayan dan Inanam laut menjadi keruh dengan bertukar warna seperti air ‘milo’ dan berbau.

Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Shahelmey Yahya berkata, kerja-kerja penyambungan itu telah dijalankan pada Jumaat lalu.

“Tindakan segera yang telah dilakukan oleh pihak Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) adalah dengan membuat pembuangan air ‘flushing’ pada transmisi utama sepanjang kawasan yang terjejas,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.

Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, pihak JANS kin sedang menyiasat perkara itu bagi mengenal pasti sekiranya berlaku kecuaian dari pihak kontraktor.

“Sekiranya berlaku kecuaian, tindakan undang-undang akan diambil jika kontraktor terbabit melakukan kecuaian,” katanya.

Sementara itu, berhubung masalah bekalan air di Papar, Shahelmey berkata, Loji Rawatan Air (LRA) Limbahau terpaksa dihentikan seketika kerana berlaku krisis air masin yang masuk ke permukaan intake loji menyebabkan keadaan air mentah tidak dapat diproses untuk disalurkan kepada pengguna.

“Bagi kawasan terjejas disebabkan krisis air masin di Sungai Papar tersebut, pihak Jabatan Air Daerah Papar dalam usaha berterusan membuat penghantaran air ke kawasan yang terjejas.

“Selain itu, air dari loji kogopon juga disalurkan ke kawasan terjejas namun terdapat beberapa kawasan yang mengalami tekanan air rendah menjadikannya agak sukar untuk disalurkan,” jelasnya.