LONDON, BRITAIN – Seramai 80,000 petugas kesihatan yang masih enggan menerima dua dos suntikan vaksin COVID-19 di Britain bakal dilucutkan jawatan.
Menurut laporan Mail Online, petugas-petugas ini akan diberikan amaran dan berdepan hukuman kehilangan pekerjaan pada mesyuarat khas yang akan diadakan pada 4 Februari depan.
Beberapa notis akan dikeluarkan bermula dari tarikh itu sehingga 31 Mac di mana semua pekerja barisan hadapan diwajibkan mendapatkan dua suntikan COVID-19 menjelang 1 April.
Menurut laporan itu lagi, pengurusan hospital telah dimaklumkan bahawa mereka boleh memindahkan anggota perubatan yang tidak divaksin kepada tugasan yang tidak melibatkan kontak secara langsung dengan pesakit.
Pembayaran lebih tidak akan dibuat kepada mereka yang diberhentikan kerja, manakala ketua-ketua tidak perlu membantu pekerja mencari pekerjaan alternatif yang bersesuaian.
“Perlu diingatkan bahawa ini bukan satu langkah yang berlebihan…
Dalam konteks peraturan, tiada pengurangan atau pemberhentian kerja tertentu.
“Majikan juga tidak perlu mencari pekerjaan alternatif yang bersesuaian buat pekerja selain tiada kelayakan berlebihan termasuk pembayaran, sama ada berkanun atau kontrak, yang dicetuskan oleh proses ini,” demikian menurut panduan NHS england.
Lebih 80,000 petugas, yang merangkumi enam peratus daripada tenaga kerja keseluruhan NHS masih belum divaksinasi sehingga kini.
Anggaran kerajaan Britain pada tahun lepas mencadangkan bahawa langkah mewajibkan vaksinasi boleh menyebabkan seramai 73,000 pekerja meninggalkan perkhidmatan kesihatan itu.





