KOTA KINABALU, SABAH – Sepasang kekasih di antara empat (4) individu disyaki menjadi dalang sindiket pengedaran dadah jenis ganja yang telah diberkas dalam operasi berasingan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu semalam.
Tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki berumur 23 tahun bersama rampasan 68.31 gram ganja di tepi jalan berdekatan Taman Milek Phase 2 di Luyang pada jam lebih kurang 6 petang.
Ketua Polis Daerah, ACP Zaidi Abdullah berkata, hasil siasatan terhadap suspek telah berjaya membawa kepada tangkapan seorang lagi lelaki berumur 28 tahun.
“Suspek kemudian mengeluarkan 39.55 gram ganja yang disimpan dalam sebuah rumah di Lido Avenue, Penampang…
“Seterusnya, bertindak di atas maklumat dadah yang diperolehi, (1) lelaki dan (1) perempuan berumur 29 tahun dan 30 tahun telah ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Millennium Court.
“Hasil serbuan telah berjaya merampas 211.60 gram ganja yang disembunyikan di dalam sebuah beg di rumah tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Zaidi, kesemua suspek yang ditahan adalah warganegara Malaysia dan tidak mempunyai pekerjaan tetap.
“Hasil siasatan mendapati bekalan dadah diperolehi dari Kuala Lumpur dan menggunakan perkhidmatan kurier dengan menghantar barang lain bersama ganja bagi mengaburi mata pihak berkuasa…
“Sindiket ini telah bergiat aktif pada hujung tahun 2020 dengan menjadikan sebuah rumah sebagai tempat penyimpanan dan pembungkusan semula ganja dalam pek yang lebih kecil untuk dijual disekitar Penampang dan Kota Kinabalu bagi mendapat keuntungan berlipat kali ganda,” tambah beliau.
Keseluruhan rampasan ganja seberat 319.24 gram dianggarkan berjumlah RM800. Mengikut harga pasaran dadah semasa, ianya berupaya memenuhi permintaan hampir 355 orang penagih dalam satu masa.

“Kesemua suspek tiada memiliki rekod kesalahan lampau manakala hasil ujian urin mendapati tiga (3) suspek lelaki positif dadah jenis THC,” katanya.
Kes disiasat dibawah Seksyen 39B, 39A(2), 39A dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung, sebatan, denda atau penjara jika disabitkan kesalahan.
Kesemua suspek direman bermula pada hari ini untuk siasatan lanjut.





