KERAJAAN NEGERI HARGAI PERANAN MEDIA DALAM PEMBANGUNAN SABAH – KM HAJIJI

KERAJAAN NEGERI HARGAI PERANAN MEDIA DALAM PEMBANGUNAN SABAH – KM HAJIJI

0
SHARE
Hajiji
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor disambut mesra oleh pengamal media sebaik tiba dalam majlis berbuka puasa bersama media di Shangri La Tanjung Aru Resort and Spa ( Sumber Foto: Ihsan JKM Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan negeri amat menghargai peranan pengamal media dalam membangkitkan isu yang melibatkan negeri dan rakyat kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Kerajaan negeri menghargai peranan anda dalam aspek ini dan saya pasti media akan terus mendengar dan melaporkan isu-isu berkaitan supaya tindakan boleh diambil.

“Kerajaan negeri akan melakukan yang terbaik untuk bertindak ke atasnya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa majlis berbuka puasa bersama pengamal media Sabah di Shangri-La’s Tanjung Aru Resort and Spa, di sini, hari ini.

Hajiji dalam pada itu turut berkata kerajaan negeri sentiasa memantau dan menilai semula prestasi jenteranya supaya kekal pada tahap optimum.

Hajiji berkata beliau tidak akan teragak-agak untuk merombak mana-mana agensi tidak berprestasi atau syarikat berkait kerajaan.

“Malah, kami sedang dalam proses meneliti beberapa entiti untuk penstrukturan semula.

“Ini perlu supaya tidak membebankan tabung negeri,” katanya.

Beliau berkata media juga memainkan peranan penting dalam pembangunan negeri dan rakyat kerana laporan media merupakan sumber maklumat kerajaan di peringkat akar umbi.

“Sekali lagi kerajaan berterima kasih kepada media dalam melaporkan usaha kerajaan dahulu, sekarang dan akan datang.

“Malah semasa kekacauan politik di Sabah baru-baru ini, media adalah antara sumber maklumat utama untuk rakyat mengetahui keadaan sebenar,” katanya.

Pada masa sama, Ketua Menteri menggesa media supaya bertanggungjawab, profesional dan mematuhi etika dalam pelaporan supaya rakyat tidak keliru dan cemas.

Hajiji berkata, sepanjang bulan Ramadan, beliau telah menghadiri majlis berbuka puasa di pelbagai tempat termasuk di Semenanjung Malaysia yang disertai oleh semua kaum dan agama.

Ini jelas menunjukkan bahawa wujudnya keharmonian di kalangan rakyat berbilang kaum, agama dan budaya, yang mesti dipelihara walau apa cara sekalipun.

Bagi tujuan ini, Hajiji berkata media massa mempunyai peranan penting dalam memastikan perpaduan terus kukuh dan keamanan terpelihara dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama di negeri ini.

“Kerajaan negeri sentiasa berharap pihak media memberi kerjasama dengan menyediakan laporan yang positif dan seimbang selain melindungi sensitiviti agama dan kaum,” katanya.

Hajiji turut menyeru media untuk terus menyokong agenda pembangunan kerajaan khususnya Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang kini memasuki tahun ketiga pelaksanaannya.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk  Safar Untong, Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA), Datuk Mugunthan Vanar dan Pengerusi Persatuan Wartawan Kota Kinabalu Jimmy Goh.