KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah dan Sarawak menyatakan belum menerima sebarang pemakluman rasmi mengenai cadangan syarikat Brunei untuk memulakan rangkaian kereta api berkelajuan tinggi yang akan melalui beberapa destinasi di kedua-dua negeri ini.
Perkara itu disahkan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Shahelemey Yahya dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg.
Shahelemey berkata, pihaknya hanya mengetahui dan mendengar pengumuman itu menerusi laporan berita, namun belum ada pemakluman terperinci mengenainya setakat ini.
“Cuma untuk kereta api Trans Borneo yang dimaklumkan Kementerian Penganguktan Malaysia akan membuat kajian kebolehlaksanaan dahulu pada tahun ini,” katanya kepada media, semalam.
Manakala Abang Johari turut menyatakan perkara sama, di mana mengetahui hal tersebut menerusi laporan media dan setakat ini syarikat tersebut masih belum menemui kerajaan negeri Sarawak.
“Ia mungkin cadangan sektor swasta yang tidak melibatkan kerajaan. Jika hendak membina landasan kereta api Kalimantan-Borneo, mesti ada perjanjian antara Malaysia, Indonesia dan Brunei.
“Unit perancangan ekonomi itu masih dalam kajian kebolehlaksanaan rangakaian kereta api yang menghubungkan Sarawak dengan wilayah lain di Borneo.
“Mereka akan terlibat dalam perbincangan kerajaan dengan kerajaan melalui Indonesia dan Brunei untuk mencari kata sepakat dalam membangunkan landasan kereta api Trans Borneo,” katanya.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan dan Komunikasi Penerangan Brunei, Shamhary Mustapha berkata belum ada perbincangan rasmi di peringkat kerajaan berhubung cadangan itu.
Akhbar Buletin Borneo di Brunei melaporkan Shamhary menyatakan walaupun kementeriannya menyedari aspirasi syarikat menyediakan perkhidmatan kereta api di Borneo namun masih memerlukan kajian lanjut.
“Walaupun belum ada perbincangan rasmi mengenai perkara itu di peringkat kerajaan, terdapat kumpulan sub-kerja kereta api Asean yang membincangkan hal berkaitan ketersambungan kereta api dalam Asean, jadi perkara ini mungkin dibangkitkan pada masa depan,” katanya.
Cadangan Brunergy Utama Sdn Bhd untuk memulakan rangkaian kereta api berkelajuan tinggi di Borneo baru-baru ini menarik perhatian media, kerana rancangan itu bertujuan untuk memendekkan masa perjalanan antara Brunei, Sarawak, Kalimantan dan Sabah.
Projek tersebut akan dilaksanakan dalam dua fasa melibatkan laluan sepanjang 1,620km manakala jarak purata antara stesen-stesen yang akan dibina adalah 150km serta kelajuan maksimum kereta api 350kmj.