KOTA KINABALU: Pasukan peguam yang mewakili ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina meminta agar semua bentuk perhimpunan aman solidariti Justice For Zara ditangguhkan sementara waktu sehingga prosiding inkues selesai dijalankan.
“Kami berpandangan semua bentuk perhimpunan aman wajar ditangguhkan sementara sehingga prosiding inkues selesai, selaras dengan hasrat ibu Zara,” kata pasukan peguam itu dalam kenyataan media, semalam.
Menurut mereka, langkah tersebut penting bagi menjaga kelancaran prosiding serta mengelakkan risiko subjudis.
“Kami memohon agar semua pihak berhati-hati ketika memberi kritikan dan komen di media sosial tentang prosiding inkues dan bukti-bukti yang dikemukakan. Ini penting bagi mengelakkan gangguan dalam perjalanan prosiding,” jelas kenyataan itu lagi.
Peguam turut menegaskan bahawa perhimpunan solidariti hanya sesuai diteruskan selepas mahkamah selesai menjalankan tugasnya.
“Buat masa ini, marilah kita memberi ruang kepada mahkamah. Dengan kesabaran dan kepercayaan kepada proses kehakiman, kebenaran akan terserlah dan keadilan akan dicapai,” ujar mereka.
Pasukan peguam turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang menyokong perjuangan keluarga Zara, termasuk melalui sumbangan dana bagi melantik pakar-pakar serta kehadiran ke perhimpunan aman sebelum ini.
Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh Rizwandean M Borhan, Shahlan Jufri, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James.






