KOTA KINABALU: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali menegaskan Sabah tidak pernah berniat melemahkan kedudukan Petronas, sebaliknya mahu gergasi minyak negara itu membantu membangunkan entiti milik negeri yang kukuh melalui SMJ Energy Sdn. Bhd.
“Kita tidak ada niat meruntuhkan Petronas. Hasrat kita adalah, setelah lebih 50 tahun, sudah tiba masanya Petronas membantu melahirkan angsa baharu bertelur emas yang dimiliki oleh Sabah sendiri, iaitu SMJ Energy,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, kerjasama rapat antara Kerajaan Negeri dan Petronas bermula dengan perjumpaan pada Ogos 2021, yang dipimpin Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor bersama barisan kepimpinan negeri.
Hasil pertemuan itu, buat pertama kali aspirasi Sabah berkaitan industri minyak dan gas diserahkan secara bertulis kepada Petronas.
Langkah tersebut, jelas Armizan, menjadi asas kepada termeterainya Commercial Collaboration Agreement (CCA) antara Sabah dan Petronas pada Disember 2021, sekali gus membuka ruang kepada negeri menikmati prinsip lebih suara, lebih penyertaan dan lebih perkongsian hasil dalam industri strategik itu.
“Sejak CCA dimeterai, Sabah bukan hanya bercakap tentang hak royalti atau cukai jualan negeri semata-mata. Kini kita terlibat secara lebih meluas, termasuk pegangan ekuiti dalam pelbagai eksplorasi minyak dan gas, serta penyertaan kontraktor tempatan Sabah yang meningkat kepada lebih 1,000 syarikat,” katanya.
Armizan menegaskan SMJ Energy, sebagai anak syarikat kerajaan negeri, diamanahkan untuk menyelaras strategi penyertaan dan pemilikan Sabah dalam keseluruhan rantaian industri dari huluan hingga hiliran.
“Kita menolak dakwaan bahawa tuntutan negeri akan meruntuhkan Petronas yang dianggap ‘angsa bertelur emas’.
“Sebaliknya, kita mahu Petronas terus kukuh, sambil membantu Sabah melahirkan angsa emasnya sendiri,” tegas beliau.






