Ketua Menteri Tinjau Lokasi Tanah Runtuh, Arah Pembaikan Segera

Ketua Menteri Tinjau Lokasi Tanah Runtuh, Arah Pembaikan Segera

0
SHARE

PENAMPANG: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengarahkan kerja-kerja pembaikan segera dilaksanakan di laluan Penampang–Tambunan yang terjejas akibat tanah runtuh, demi menjamin keselamatan pengguna jalan raya serta kelancaran perhubungan ke kawasan pedalaman.

“Kerajaan Negeri memberi keutamaan kepada keselamatan rakyat. Kita mahu kerja-kerja pembaikan ini disiapkan segera supaya penduduk tidak terus terjejas,” katanya selepas meninjau lokasi kejadian di Kampung Pogunon, pada Sabtu.

Hajiji yang baru tiba dari Kuching selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MA63 bersama Perdana Menteri dan Premier Sarawak, terus bergegas ke lokasi tanah runtuh bersama Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick; ADUN Kepayan, Datuk Jannie Lasimbang; serta Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Moyog, Datuk Ceasar Mandela Malakun.

Hajiji mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, syarikat konsesi serta agensi berkaitan menambah jentera dan bekerja 24 jam bagi memastikan laluan dua hala dapat dibuka dalam masa terdekat.

“Sekarang laluan hanya satu hala. Kita mahu JKR dan syarikat konsesi bekerja 24 jam dan diberi jaminan dalam tempoh satu atau dua hari laluan dua hala boleh digunakan. Kita harap rakyat bersabar sedikit kerana kerajaan sedang mengambil tindakan segera,” jelasnya.

Selain jalan, Hajiji turut mengarahkan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) memulihkan talian elektrik yang terputus, manakala Jabatan Air Sabah dan JETAMA memastikan bekalan air bersih kembali normal. Semua usaha bantuan akan diselaraskan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Menurut laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), runtuhan tersebut berpunca daripada hujan lebat berterusan selama tiga hari dengan taburan tertinggi 82.5 milimeter dalam tempoh sehari pada 11 September lalu, menyebabkan cerun menjadi tidak stabil.

Dalam tragedi itu, sebuah rumah tertimbus menyebabkan kematian, sekali gus mengundang rasa simpati Hajiji yang memberi jaminan bantuan khairat serta sokongan untuk membina semula kediaman keluarga terjejas.

Setakat pagi ini, 437 mangsa daripada 128 keluarga ditempatkan di lima pusat pemindahan sementara (PPS) di Beaufort, Penampang dan Tawau. Sebanyak 23 kampung terjejas akibat banjir dan tanah runtuh.

“Kerajaan Negeri amat prihatin dengan nasib keluarga mangsa. Saya memberi jaminan bantuan segera akan disalurkan,” kata Hajiji.