Kesejahteraan Mental Teras Tanggungjawab Sosial Komuniti – Dr. Arifin

Kesejahteraan Mental Teras Tanggungjawab Sosial Komuniti – Dr. Arifin

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kesejahteraan mental tidak boleh dipisahkan daripada tanggungjawab sosial kolektif dan keseimbangan psikologi dalam masyarakat, tegas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.

Berucap dalam Webinar Serantau Kesejahteraan Psikologi dan Spiritual 2025 anjuran IPDAS, beliau berkata kesejahteraan komuniti hanya boleh dicapai jika wujud kesedaran psikologi dan sikap bertanggungjawab dalam kalangan masyarakat.

“Mental yang sihat perlu datang daripada keseimbangan psikologi dan kesedaran sosial. Inilah asas komuniti sejahtera,” katanya.

Beliau berkata, tema webinar “Keseimbangan Psikologi, Kesejahteraan Sejagat” selari dengan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) dan kerangka MADANI Persekutuan yang mengangkat aspek kesejahteraan emosi, mental dan spiritual sebagai asas pembangunan negara.

Mengulas keadaan semasa, beliau membangkitkan kebimbangan terhadap kesihatan mental remaja Malaysia berdasarkan Kajian Kesihatan Remaja 2022 yang menunjukkan 26.9 peratus mengalami gejala depresi, 16.2 peratus berasa kesunyian berterusan, dan 13.1 peratus pernah terfikir untuk menamatkan nyawa.

“Ini krisis nasional. Ia memerlukan pendekatan menyeluruh yang menggabungkan intervensi psikologi dan sokongan spiritual. Jika satu unsur terabai, yang lain turut terjejas,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa pencapaian masyarakat tidak seharusnya diukur dengan pembangunan fizikal semata-mata tetapi dengan kekuatan mental dan spiritual rakyat.

Dr Arifin turut menyorot inisiatif di bawah SMJ seperti Jelajah ANMS–SMJ (2022), Madani Afiat 2024, pembangunan modal insan dan biasiswa Yayasan Sabah, serta program MADANI seperti Program Kesejahteraan Psikologi, ICOPW2024 dan ISLAH sebagai bukti kesungguhan kerajaan membentuk masyarakat yang kukuh secara holistik.