Dinosaur mana satu? Azrul bidas Akmal

Dinosaur mana satu? Azrul bidas Akmal

0
SHARE

KINABATANGAN: Naib Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Azrul Ibrahim, membidas kenyataan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Akmal Saleh, yang sebelum ini mendakwa rakyat Sabah perlu “menyelamatkan Sabah daripada dinosaur”.

Azrul mempersoalkan siapa yang dimaksudkan Akmal sebagai “dinosaur”, sambil menyindir rekod pentadbiran parti lawan yang pernah memerintah Sabah selama puluhan tahun.

“Dia bilang orang Sabah perlu selamatkan Sabah daripada dinosaur. Saya tanya, dinosaur mana satu? Dinosaur yang lima tahun memerintah tapi banyak manfaat pada rakyat, atau dinosaur yang puluhan tahun mentadbir Sabah tetapi gagal membawa kemajuan?” katanya ketika berucap di program Ceramah Perdana GRS DUN Lamaq di sini pagi tadi.

Hadir sama, Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah, Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah Bahagian Lamag, Abu Bakar Gapar dan calon DUN Lamaq, Johainizamshah Johari.

Mengulas lanjut, Azrul berkata tuduhan itu tidak berasas dan mendakwa bahawa beberapa pemimpin pembangkang sendiri termasuk dalam kategori yang mereka laungkan.

“Pada saya, dinosaur itu ada banyak dalam parti mereka. Parti kita dipenuhi pemimpin yang mahu berkhidmat untuk rakyat,” katanya.

Azrul turut mengkritik keadaan jalan raya yang didakwa paling teruk di kawasan berkenaan, meskipun kawasan itu pernah diwakili pemimpin yang memegang jawatan penting kerajaan.

“Saya tengok jajaran jalan rakyat yang paling teruk ada di kawasan Lamaq. Dia pernah jadi menteri kerja raya, dia pernah jadi orang berkuasa untuk selesaikan masalah jalan dan air, tapi masalah itu tidak selesai,” katanya.

Azrul menegaskan bahawa pengundi khususnya anak muda di Lamaq kini mahu perubahan dan melihat calon GRS, Johainizamshah Johari, sebagai pilihan yang mampu membawa pembaharuan.