TAWAU:: Pewartaan Kampung Pengkalan Inderasabah di Apas seluas 5.687 hektar sebagai sebuah kampung berdaftar membuka lembaran baharu kepada penduduknya selepas diumumkan secara rasmi dalam sebuah majlis doa kesyukuran yang berlangsung di perkarangan Masjid Al-Muhazirin, Kampung Inderasabah.
Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi DUN Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pewartaan itu membawa makna besar kerana ia menjadi asas penting untuk merancang pembangunan kampung secara lebih tersusun dan sistematik.
Menurut beliau, pengiktirafan rasmi tersebut membolehkan Kampung Pengkalan Inderasabah menerima peruntukan pembangunan daripada kerajaan, selain memudahkan perancangan kemudahan asas seperti jalan raya, utiliti, kemudahan awam dan prasarana sosial yang sebelum ini sukar dilaksanakan tanpa status pewartaan.
“Dengan adanya pewartaan ini, banyak urusan pentadbiran dan pengurusan komuniti dapat dijalankan dengan lebih teratur, termasuk pelantikan kepimpinan kampung serta pelaksanaan program kebajikan kepada penduduk,” katanya DALAM KENYATAAN DI SINI, HARI INI.
Nizam turut menjelaskan bahawa pewartaan kampung dapat menjamin hak penduduk, terutamanya dalam aspek penempatan, pengurusan tanah dan pembangunan jangka panjang yang menjadi keutamaan masyarakat setempat.
Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh tertib dan meriah itu turut menunjukkan rasa kesyukuran dan keterujaan penduduk terhadap perkembangan baharu tersebut.
“Ini adalah permulaan yang amat bermakna buat semua. Kampung Pengkalan Inderasabah kini berada di landasan yang kukuh untuk terus maju seiring aspirasi penduduk yang mahukan sebuah komuniti lebih makmur, teratur dan sejahtera,” tambah Nizam.
Dengan pewartaan rasmi ini, Kampung Pengkalan Inderasabah dijangka menikmati pembangunan lebih terancang bagi manfaat generasi kini dan akan datang.






