KINABATANGAN: Calon muda Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Johainizamshah Johari, berkata maklum balas yang diterimanya sepanjang kempen PRU-17 menunjukkan pengundi di DUN Lamag semakin cenderung mahukan perubahan, ketika beliau mencabar penyandang, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga Ketua UMNO negeri.
Menurut Johainizamshah, penerimaan masyarakat lebih memberangsangkan berbanding pilihan raya terdahulu.
“Sambutan masyarakat kali ini berbeza daripada sebelum ini kerana mood orang Lamag kini mahukan perubahan. Mereka mahu mengubah pemimpin,” katanya.
Beliau berkata pengundi mahukan pemimpin yang mampu memberi perkhidmatan konsisten tanpa alasan.
“Yang rakyat perlukan adalah sebuah perkhidmatan, bukan alasan seperti sakit, tinggal jauh atau selalu berada di luar kawasan. Mereka mahu wakil rakyat yang betul-betul bekerja,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas program Ceramah Perdana GRS DUN Lamag di sini pagi tadi.
Hadir sama, Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah dan Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah Bahagian Lamag, Abu Bakar Gapar.

Dalam pada itu, Johainizamshah menjelaskan jentera pilihan raya GRS telah digerakkan sepenuhnya di semua tujuh PDM dengan keanggotaan hampir 800 petugas, dan logistik kempen berada dalam keadaan mencukupi.
“Kita mengaktifkan jentera di seluruh tujuh PDM dengan kekuatan hampir 800 orang yang bekerja setiap hari. Bekalan logistik setakat ini mencukupi,” katanya.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa sebahagian pengundi melihat inisiatif kerajaan negeri sebagai faktor penting dalam keputusan mereka.
“Inisiatif seperti bantuan tunai dan rumah percuma SMJ memberi impak yang baik kerana itu memang diidamkan rakyat,” katanya.
Mengulas mengenai pertandingan yang turut membabitkan hubungan kekeluargaan dalam kawasan itu, Johainizamshah berkata pengundi tetap akan menilai berdasarkan rekod dan keupayaan calon.
“Pilihan raya ini akhirnya tentang perkhidmatan. Pengundi berhak mendapatkan perkhidmatan yang terbaik. Saya yakin mereka bijak memilih,” katanya.
Beliau optimis GRS mampu memberikan saingan kuat di Lamag berdasarkan kehadiran dan sokongan dalam program-program kempen.
“Saya berpendapat positif GRS di Lamag mampu memberi satu kejutan. Hari ini sahaja sudah lebih seribu orang hadir,” katanya.
Dalam PRN Sabah 2020, Bung Moktar menang kerusi DUN Lamag dengan majoriti 661 undi.






