SEMPORNA: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dilaporkan hilang di perairan Pulau Bum-Bum sejak Rabu berakhir selepas mangsa ditemukan meninggal dunia petang kelmarin.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Semporna pada jam 9.00 pagi, memaklumkan seorang lelaki berusia 36 tahun hilang ketika melakukan aktiviti menyelam untuk menangkap ikan.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Air Semporna yang diketuai PBK II Mohd Nor Marasik segera digerakkan ke lokasi kejadian menggunakan Bot Kevlar, tiba pada jam 10.09 pagi.
Operasi turut disertai APMM Semporna, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
SAR hari kedua bermula jam 8.20 pagi di sekitar kawasan mangsa dipercayai hilang, namun operasi menghadapi cabaran gangguan liputan telefon dan GIRN di lokasi.
Usaha pencarian diteruskan sehingga jam 4.13 petang apabila mangsa ditemukan oleh ahli keluarganya di kawasan Pancang Pusingan.
Mangsa kemudian dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin dan disahkan meninggal dunia oleh pihak PDRM sebelum diserahkan untuk tindakan lanjut. Operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.38 petang.
Mangsa merupakan seorang lelaki pemastautin tetap berusia 36 tahun.
Sebanyak lima anggota BBP Air Semporna terlibat dalam operasi ini, dengan koordinasi turut dibantu oleh Pengganti Ketua Balai, PBK II Akimullah Adnan.
JBPM Sabah merakamkan penghargaan kepada semua agensi terlibat serta keluarga mangsa atas kerjasama sepanjang operasi dijalankan.






