Kluster Baharu Individu Dari Labuan Punca Kerajaan Negeri Ketatkan SOP Kemasukan Ke...

Kluster Baharu Individu Dari Labuan Punca Kerajaan Negeri Ketatkan SOP Kemasukan Ke Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan Negeri Sabah mengetatkan SOP kemasukan ke dalam negeri berikutan pencetusan kluster baharu oleh beberapa individu dari Labuan yang telah balik beraya di daerah Tawau.

Jurucakap COVID-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata kes pertama melibatkan sepasang suami isteri pada 8 Mei (Ahad) yang singgah bermalam di rumah keluarga di Ladang Abaka.

“Terdapat empat buah rumah di ladang tersebut dan semua penghuni merupakan ahli keluarga…

“Pasangan ini telahpun menjalani saringan awal sebelum masuk ke Sabah pada 7 Mei namun hasil ujian RTK didapati negatif,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Kes indeks tersebut mempunyai gejala pada 12 Mei 2021 dan kemudiannya disahkan positif COVID-19 pada 14 Mei.

Pada tarikh mereka disahkan sebagai penghidap, sembilan (9) ahli keluarga serumah sudah dijangkiti.

“Kes kedua juga melibatkan individu dari Labuan yang balik untuk berhari raya di daerah Tawau pada 8 Mei, dan disahkan positif pada 16 Mei 2021.”

Dalam tempoh tersebut, kes indeks yang menetap di kawasan ladang Kampung Sungai Imam turut menziarahi keluarga di Taman Barkeley sekaligus menyebabkan jangkitan kepada 43 ahli keluarga.

“Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri memutuskan untuk mengetatkan SOP kemasukan ke Sabah,” kata Masidi.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan Dan Perumahan berkata pengambilan PCR Test dengan keputusan Negatif adalah diwajibkan bagi setiap individu yang ingin masuk ke Negeri Sabah.

“Orang Bukan Asal Sabah yang ingin masuk ke Negeri Sabah dikehendaki untuk Kuarantin wajib 14 hari di hotel atas biaya sendiri…

“Kemasukan ke Negeri Sabah bagi Pegawai-Pegawai Kerajaan adalah dibenarkan, tertakluk kepada pegawai yang mempunyai surat rasmi bertugas di Negeri Sabah.

“Manakala penduduk asal Sabah, tetap dan pemegang pas kerja yang bermastautin di Sabah dikehendaki menjalani kuarantin wajib 14 hari di rumah apabila masuk ke Negeri Sabah,” tambah beliau.

Beliau berkata sekiranya kapasiti Pusat Kuarantin tidak mencukupi, bilangan hotel akan ditambah dari masa ke semasa.

“Tarikh perlaksanaan peraturan baru berkuatkuasa bermula 20 Mei (esok),” katanya.