TAWAU: Sepasang kekasih ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam penyalahgunaan dadah menerusi satu operasi di Jalan Utara, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, tangkapan dilakukan sekitar jam 10.30 malam hasil tindakan pantas pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) IPD Tawau ketika menjalankan Op Tapis di kawasan berkenaan.
Menurut beliau, pasangan terbabit menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda dan dikesan memandu dalam keadaan mencurigakan sebelum mereka dihentikan untuk pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan satu paket plastik lutsinar berisi 6.53 gram syabu, disimpan dalam sebuah beg plastik hitam, dengan nilai rampasan dianggarkan RM653.
“Ujian saringan awal mendapati lelaki tempatan berusia 33 tahun itu positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine, manakala pasangannya, seorang wanita tempatan berusia 26 tahun, didapati negatif. Kedua-duanya tidak mempunyai pekerjaan tetap dan tidak memiliki sebarang rekod lampau,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
ACP Jasmin turut mengingatkan masyarakat agar menjauhi penyalahgunaan dadah yang mampu merosakkan masa depan serta mendorong kepada kegiatan jenayah lain.
Beliau menegaskan bahawa PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terlibat dalam penyalahgunaan atau pengedaran dadah, dan menyeru orang ramai menyalurkan maklumat sekiranya melihat aktiviti mencurigakan di kawasan masing-masing.






