KUALA LUMPUR – Penyanyi baharu dalam industri negara, Aiman Coco tampil dengan single pertamanya bertajuk ‘Silam’.
Pemilik asal nama Muhammad Nasrul Ali yang berasal dari Hulu Langat itu menyatakan rasa teruja apabila diberi peluang menampilkan bakatnya menerusi lagu ‘Silam’ selepas single sempena Aidilfitri bertajuk ‘Raya 4 Suara’ pada tahun lepas.
“Apa yang saya impikan, Alhamdulillah Allah makbulkan. Terima kasih RR Entertainment dan Sony Music Malaysia kerana memberi peluang dan ruang untuk mengetengahkan bakat saya dalam bidang nyanyian.
“Saya amat menghargainya dan akan cuba yang terbaik selagi boleh,” katanya.
Bercerita pula tentang pengalaman menghasilkan single barunya, lagu terbabit bukanlah sebuah cerita peribadinya.
”Mula-mula saya dengar lagu tu memang saya jatuh cinta sangat jadi saya terus setuju untuk menyanyikan lagu ‘Silam’ dan ini lah juga peluang yang saya nanti-nantikan selama ini,” katanya.