‘Rider FoodPanda’ Maut, Terbabas Dan Langgar Pembahagi Jalan

‘Rider FoodPanda’ Maut, Terbabas Dan Langgar Pembahagi Jalan

0
SHARE
Mangsa maut di lokasi kejadian selepas terbabas dan melanggar pembahagi jalan

GEORGE TOWN: Seorang ‘rider FoodPanda’ atau penghantar makanan maut, selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Bukit Gambir di sini, petang tadi.

Mangsa, iaitu lelaki berusia 27 tahun itu maut selepas motosikal yang ditunggangnya disyaki terbabas sendiri dan terlanggar pembahagi jalan. 

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Razlam Ab Hamid berkata, mangsa yang berasal dari Balik Pulau itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 3.30 petang tadi, memaklumkan mengenai kemalangan itu.

“Berdasarkan siasatan awal, ketika kejadian mangsa datang dari arah Bukit Jambul menghala ke Jalan Yeap Chor Ee melalui Jalan Bukit Gambir.

“Bagaimanapun, setibanya di lokasi mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y16 dipercayai telah hilang kawalan dan terbabas lalu melanggar pembahagi jalan. 

“Akibat daripada impak perlanggaran, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Bedah siasat akan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.