TAWAU: Punca kematian dua beranak yang ditemui maut dalam sebuah kolam pada Selasa lalu adalah disebabkan mati lemas dan tiada seabrang unsur jenayah berlaku.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, proses bedah siasat ke atas kedua-dua mangsa, iaitu seorang ibu berusia 40-an dan anaknya, 7 tahun telah dijalankan di Unit Forensik Hospital Tawau pada jam 10 pagi hingga 12 tengah hari tadi.
“Hasil bedah siasat mengesahkan tiada sebarang unsur jenayah pada kedua-dau jenazah mangsa di mana tiada kesan lebam, hirisan mahupun tetakan akibat kejadian jenayah ataupun rogol.
“Punca kematian kedua mangsa adalah disebabkan mati lemas,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, mangsa pertama, iaitu anak dipercayai telah lemas di dalam kolam dan ibunya cuba untuk menyelamatkan anaknya namun tidak berjaya dan ikut lemas bersama-sama.
“Siasatan di bawah Sudden Death Report (SDR) diteruskan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, seorang wanita bersama anaknya ditemukan maut di dalam sebuah kolam berhampiran rumah mereka di Kampung Mangga, Jalan Nasib Kita, Tawau.
Kedua-dua mangsa yang maut itu dikenali sebagai Suriani Amir, 41, dan anak lelakinya Risdy Rudy berusia tujuh tahun telah ditemui oleh orang kampung dan seterusnya melaporkan kejadian itu kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.