PAPAR, SABAH – Tarian etnik sambut kehadiran Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Negeri Sabah 2023 di Papar.
Kelab Kebudayaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bongawan di bawah guru pembimbing Nooraini Kasim mempersembahkan tarian Rambai dari suku Tidung sebagai persembahan menyambut rombongan konvoi ke sekolah itu.
Seramai 12 orang terdiri daripada pelajar tingkatan 4 dan 5 itu mewakili sekolah mereka ke Festival Apresiasi Seni Untuk Semua (Fasus) Peringkat Negeri Sabah untuk tiga tahun 2019, 2022 dan 2023.
Sementara, di SMK Kimanis rombongan konvoi disambut dengan tarian rampaian yang merangkumi beberapa jenis tarian etnik di Malaysia termasuk zapin, tarian igal dan sumazau oleh pasukan Swadansa.
Pasukan di bawah guru pembimbing Noraidah Suntang itu pula akan menyertai Fasus Peringkat Negeri Sabah dan terdiri daripada 10 penari yang berumur di antara 13 hingga 16 tahun.
Konvoi KMJG yang masuk hari ke-10 itu meneruskan perjalanan ke perhentian seterusnya Pejabat Daerah papar sebelum bergerak ke perhentian ke-46 di SMK Pengalat. — JABATAN PENERANGAN SABAH