
KOTA KINABALU, SABAH – Seorang buruh binaan menyerahkan dirinya kepada pihak Polis setelah menetak isterinya dalam bilik sewa mereka di Segama sini semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Mohd Zaidi Abdullah, motif pembunuhan mangsa 23 tahun akibat perasaan cemburu.
“Menurut pengakuan suspek berumur 31 tahun, berlakunya pertengkaran antara pasangan berkenaan sebelum suspek bertindak untuk menyerang.
“Suspek telah menghubungi talian MERS999 pada pukul 11.47 malam dan memberitahu telah menetak isterinya sehingga tidak sedarkan diri dan ingin menyerahkan diri,” katanya kepada wartawan.
Mengulas lanjut, beliau berkata suspek merupakan pemegang kad IMM13 manakala mayat mangsa telah diserahkan ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth bagi tujuan bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.