SABAH, SARAWAK FOKUS KEPADA CADANGAN RUU PINDA PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN SELARAS DENGAN MA63...

SABAH, SARAWAK FOKUS KEPADA CADANGAN RUU PINDA PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN SELARAS DENGAN MA63 – KM HAJIJI

0
SHARE
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyaksikan penyerahan surat memperkasakan lesen memancing laut dalam Sabah daripada Ronald Kiandee (kiri) kepada Dr Jeffrey (kanan)...

KOTA KINABALU, SABAH – Rang undang-undang (RUU) yang dicadangkan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan supaya selaras dengan peruntukan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah hasil kegigihan pihak Sabah dan Sarawak.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata beliau dan rakan sejawat di Sarawak telah mengemukakan tuntutan negeri-negeri terbabit pada Majlis Khas MA63 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri sendiri.

“Rang Undang-undang untuk meminda Perlembagaan Persekutuan sebenarnya adalah hasil daripada keputusan Majlis Khas MA63 yang mengambil kira permintaan daripada Sabah dan Sarawak…

“Kerajaan Sabah melihat pembentukan Majlis Khas MA63 sebagai fasa penting dan manifestasi ketersediaan kerajaan hari ini untuk menyelesaikan isu-isu yang telah dipersetujui sebelum ini,” katanya.

Beliau berucap pada taklimat Majlis Khas MA63 bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah di auditorium mini Dewan Undangan Negeri dekat sini, hari ini.

Hajiji berkata jawatankuasa teknikal yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Panglima Masidi Manjun juga telah ditubuhkan untuk berunding bagi mendapatkan lebih banyak bahagian hasil dalam sektor minyak dan gas daripada Petronas.

Katanya, beliau sendiri telah bertemu secara peribadi dengan presiden Ketua Pegawai Eksekutif Petronas untuk membincangkan Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA), yang menurutnya akan ditandatangani tidak lama lagi.

“Melalui CCA, Sabah akan mempunyai perkongsian hasil dan penyertaan yang lebih besar dan lebih kuasa dalam hal minyak dan gas kita,” katanya.

Taklimat khas itu bertujuan memberi gambaran kepada wakil rakyat mengenai perkembangan terkini tuntutan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak yang telah dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan melalui Majlis Khas MA63.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bersapa dengan Dr Ronald Kiandee dan Dr Maximus Ongkili..

Hadir sama ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili; Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Parlimen dan Undang-undang).

Semasa taklimat itu, Hajiji turut menyaksikan penyerahan kuasa mengeluarkan lesen perikanan laut dalam kepada Kerajaan Negeri daripada Datuk Seri Dr Ronald Kiandee kepada Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.