KUDAT, SABAH – Tanggung jawab sosial korporat (CSR) perlu terus diperkasakan kerana peranannya dalam pembangunan masyarakat khususnya kepada golongan yang yang memerlukan disamping mengurangkan kadar kemiskinan negara.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata , pengupayaan instrumen zakat dan wakaf perlu diberikan keutamaan dalam proses pemerkasaan peranan CSR .
“Dalam melaksanakan program CSR ini Barisan Nasional dan UMNO walaupun sebagai sebuah organisasi parti namun tidak terlepas dari memikul tanggungjawab ini untuk menyumbang kepada kemajuan masyarakat…
katanya ketika ditemui selepas menyampaikan kereta jenazah sumbangan Pergerakan Pemuda Umno bahagian Kudat kepada masjid Jamek kampung Pengaraban di sini semalam.
Program tersebut merupakan salah satu pengisian program Permukiman Ahli Dewan Undangan Negeri Kelab Penyokong Kerajaan yang berlangsung selama tiga hari di daerah ini.
Bung yang juga Ketua Umno Sabah berkata tanggungjawab parti bukan sahaja untuk memperkukuhkan parti dan kerajaan malah memenuhi kehendak dan memberi penambahbaikan nilai kepada masyarakat.
Bung berkata, walaupun konsep CSR ini teori Barat, dari sudut lain ia dilihat selaras dengan tuntutan Islam yang menekankan ciri perniagaan tidak bertujuan mencapai kejayaan materialistik sahaja.
“Ciri perniagaan dalam Islam juga menekankan kepentingan menjaga kebajikan sosial masyarakat sekeliling…
Ini dapat dibuktikan dengan tuntutan mengeluarkan zakat dan galakkan mewakafkan harta.
“Penubuhan institusi zakat bertujuan membasmi kemiskinan dan membantu kebajikan sosial masyarakat dan begitu juga institusi wakaf yang bertujuan membangunkan sosioekonomi sesebuah negara,” katanya.
Tambahnya, impak daripada usaha yang dilakukan oleh Pergerakan Pemuda Umno bahagian Kudat dapat dimanfaatkan bersama bagi mencapai kesejahteraan masyarakat.
Pengerusi Barisan Nasional Sabah itu juga berkata ia dapat memperbaiki taraf kehidupan masyarakat dan pada masa sama menyumbang ke arah pembangunan ekonomi negara.
“Ketika negara dilanda pandemik COVID-19, Barisan Nasional dan UMNO juga turut memainkan peranan menghulurkan bantuan bakul makanan hampir di seluruh daerah di negeri ini yang bertujuan untuk meringankan beban mereka yang terjejas.
“Saya berharap semua pemimpin parti di semua bahagian cakna kepada perkembangan semasa selain bencana alam dan individu yang benar-benar memerlukan bantuan terutamanya dari sudut kebajikan,” tambah Bung.
Selain penyampaian kereta jenazah Bung juga turut menyampaikan sumbangan kewangan kepada golongan asnaf dan untuk tabung masjid Jamek Kampung Pengaraban pada majlis tersebut.
Hadir sama ialah Timbalan Ketua Umno Sabah, Datuk Yakub Khan; ADUN Bengkoka, Harun Durbai; Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Raimee Unggi; Ketua UMNO Bahagian Kudat, Haji Akran Haji Ismail dan Ketua Pergerakan Pemuda Kudat ,Sufian Abdul Karim