Bung Sambut Baik Pembentangan Belanjawan 2022 Sabah

Bung Sambut Baik Pembentangan Belanjawan 2022 Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin menyambut baik Belanjawan 2022 berjumlah RM 4.59 bilion yang dibentangkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, petang kelmarin.

Katanya belanjawan tersebut menumpukan usaha mengurangkan beban rakyat yang terkesan dengan penularan pandemik COVID-19 selain meningkatkan ekonomi negeri.

“Saya menyambut baik beberapa pengumuman dalam pembentangan bajet kali ini dan turut memberi sokongan kepada Ketua Menteri…

“Saya yakin kita akan dapat menguruskan lagi ekonomi negeri Sabah ini dengan baik pada masa akan datang dengan adanya pendapatan yang kita rancang untuk meningkatkan ekonomi negeri,” katanya selepas pembentangan Bajet 2022 di Dewan Undangan negeri petang kemarin.

Bung mengiringi Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Mohd Nor masuk ke dewan Persidangan DUN untuk membentangkan Bajet 2020 kemarin…

Mengulas lanjut berhubung belanjawan lebihan atau ‘surplus’ sebanyak RM 110.68 juta yang bertemakan ”Ekonomi Pulih, Rakyat Sejahtera”, Bung yang juga Menteri Kerja Raya optimis nilai tersebut akan bertambah pada masa akan datang.

Katanya kerajaan negeri akan memperoleh lebih banyak keuntungan yang boleh digunakan untuk membangunkan lebih banyak prasarana dan infrastruktur secara holistik untuk rakyat di negeri ini.

Menurut Bung, beliau juga akan berbincang dengan Menteri Kewangan berhubung langkah dan tindakan yang boleh dilakukan bagi mempertingkatkan lagi infrastruktur di Sabah.

“Kita memahami lebih banyak keperluan pembangunan insfrastruktur diperlukan di negeri ini, antara sistem perhubungan jalanraya, bekalan air bersih, bekalan elektrik, pendidikan dan lain-lain yang memerlukan tumpuan khusus untuk menambahkan baik keperluan tersebut demi kesejehteraan rakyat,” tambahnya.

Dalam pada itu, Bung turut menyatakan kesemua sektor yang menyumbang dalam pendapatan ekonomi Sabah perlu diselaraskan secara bijaksana.

“Tumpuan juga perlu diberikan kepada beberapa sektor, antaranya Pertanian selain Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar yang bergerak sebagai enjin pendapatan ekonomi negeri Sabah…

Bung bersama Menteri Pelancongan Kebudayaan Alam Sekitar Datuk Jafry Arifin tiba di DUN Sabah untuk mengikuti sesi pembentangan Bajet 2022…

“Permintaan dalam sektor pertanian telah bertambah, demikian juga harga barangan turut naik, apa lagi sektor ini juga turut terkesan semasa penularan pandemik COVID-19.

“Justeru fokus untuk mengembalikan daya maju sektor ini perlu diberikan perhatian khusus dari kerajaan,” katanya.

Jelasnya lagi, berdasarkan trend sektor ini, beliau melihat ia satu peluang bagi kerajaan negeri untuk menambah nilai bantuan peruntukkan kepada pemain dalam Industri Kecil dan Sederhana (SME) yang rata-rata terdiri daripada masyarakat kampung.