MANILA, FILIPINA – Filipina menjadi negara terbaharu di Asia Tenggara yang membuka semula sektor pelancongan dalam usaha memulihkan sektor yang terjejas selepas sempadan negaranya ditutup kepada pelawat hampir dua tahun lalu berikutan pandemik COVID-19.
Tindakan itu bermula baik semalam selepas Filipina mengalu-alukan ketibaan lebih 200 pelancong asing masuk ke negera itu.
Filipina yang terkenal dengan pantai pasir yang memutih dan kaya kehidupan marin menyaksikan trend penurunan mendadak kes COVID-19 ketika ini.
Memetik laporan Reuters, pegawai pelancongan dilihat berada di lapangan terbang Manila menyambut ketibaan penumpang yang tiba dari pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat (AS) dan China untuk bercuti di pantai atau bertemu keluarga atau kenalan mereka.
“Saya melihat ini satu rangsangan yang baik untuk sektor pelancongan dan ekonomi Filipina,” kata James Stickney, 31, seorang personaliti media sosial dari Malaysia yang menaiki penerbangan untuk memberi kejutan kepada teman wanitanya.
Sementara itu, di bandar bertembok Intramuros di Manila, pemandu kereta kuda dan pengusaha perkhidmatan sewaan basikal giat melakukan persiapan dan mereka berharap pembukaan itu memberi aliran pelancongan yang stabil serta memulihkan pendapatan mereka.
“Sebahagian tetamu kami adalah pelancong asing yang sedang bercuti, jadi kami amat gembira akhirnya kerajaan mula membuka negara kepada pelancong,” kata pengurus perkhidmatan sewaan basikal, Russel Leyco.
Kes COVID-19 di Filipina menurun daripada kemuncak jangkitan tinggi pada September lalu dengan lebih 33,000 kes kepada hanya 3,500 kes sehari, manakala lebih separuh daripada 110 juta penduduk negara itu kini sudah lengkap divaksin sepenuhnya.
Pelancong perlu menunjukkan bukti vaksinasi tetapi tidak perlu dikuarantin dan syarikat pelancongan berharap aliran ketibaan akan bertukar mendapat sambutan menggalakkan untuk mempertingkatkan sektor itu.