KOTA KINABALU, SABAH – Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Hj. Yakub Khan menggesa agar para penjawat awam memainkan peranan dalam memastikan sistem penyampaian perkhidmatan melalui pendigitalan selamat.
Tambah beliau, semua penjawat awam seharusnya menguasai ilmu serta kemahiran berkaitan teknologi digital, di samping sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri (JPKN).
“Saya menyeru semua penjawat awam untuk bersama-sama secara berterusan dengan JPKN sebagai pembangun utama aplikasi Kerajaan Negeri dalam ekosistem siber yang selamat…
“Saya juga mengingatkan para penjawat awam tentang keperluan menamakan dan memastikan sentiasa mengemaskini senarai Pegawai Keselamatan ICT atau ICTSO di organisasi masing-masing.
“Seterusnya, memaklumkan kepada pihak Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan juga JPKN seperti mana yang diperlukan oleh Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara.
“Perkara ini membolehkan pihak NACSA menghubungi organisasi mengenai sebarang perkembangan atau isu keselamatan siber,” katanya semasa berucap merasmikan Persidangan Keselamatan Siber Sektor Awam Sabah 2022, pada Rabu.
Sementara itu, Pengarah JPKN Ernywati Dewi Abas memaklumkan objektif utama seminar tersebut ialah menyumbang kepada penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan sektor awam lebih berkualiti, selamat dan mengutamakan keperluan pengguna terutama masyarakat.
“Penganjuran persidangan ini juga adalah salah satu langkah JPKN ke arah memberi jaminan kepada para pemegang taruh iaitu semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan negeri bahawa keselamatan siber adalah agenda yang amat dititikberatkan,” ujar beliau.
Seminar sehari bertemakan “Keselamatan Inovasi Digital 5A” merupakan kesinambungan daripada amanat Setiausaha Kerajaan Negeri yang memperkenalkan inisiatif Pendigitalan Ke Era Kerajaan Pintar (Smart Government) iaitu “Accessible by Anyone, at Anytime, Anywhere, by Any Mobile Device”.
Turut hadir dalam majlis tersebut Setiausaha Tetap Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi Datuk Zainudin Aman dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Komputer Sabah Ernywati Dewi Abas.





