KUALA LUMPUR – Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman diperintahkan untuk membela diri oleh Mahkamah Tinggi bagi empat pertuduhan termasuk pecah amanah dana berjumlah RM1 juta.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid telah membacakan keputusan itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie terhadap semua pertuduhan di akhir kes pendakwaan itu.
Penyandang kerusi Parlimen Muar itu tiba di Kompleks Mahkamah di sini kira-kira 9.15 pagi dengan ditemani ibu bapanya serta Setiausaha Agung Muda, Amir Hariri Abd Hadi.
Turut kelihatan hadir di perkarangan luar kompleks mahkamah adalah penyokong beliau sebagai tanda solidariti.
Azhar berkata beliau sudah meneliti semua hujah dikemukakan pihak pendakwaan dan berpuas hati semua pertuduhan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
“Tertuduh diarahkan membela diri atas setiap pertuduhan terbabit…
“Ada tiga pilihan iaitu pertama berdiam diri dengan tidak menjawab pertuduhan atau kedua memberikan kenyataan tidak bersumpah tanpa pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan.
“Pilihan ketiga pula, memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi dari kandang saksi dengan pihak pendakwaan diberikan peluang untuk menyoalnya semasa pemeriksaan balas,” katanya.
Dalam pada itu, mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan untuk Syed Saddiq membela diri bermula 22 hingga 24 Februari serta 13 dan 14 Mac dan 10 hingga 14 April tahun hadapan.
Syed Saddiq, 29, yang juga Bekas Menteri Belia dan Sukan berdepan empat tuduhan, yang pertama didakwa bersubahat dengan bekas Penolong Bendahari ARMADA BERSATU, Rafiq Hakim Razali, yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.
Penyandang kerusi Parlimen Muar itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, di sini, pada 6 Mac 2020.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri, iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang terbabit.
Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya, di sini, antara 8 hingga 21 April 2018.
Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram, iaitu memindahkan wang, masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, hasil aktiviti haram.
Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru, pada 16 dan 19 Jun 2018.





