PUTATAN: Sebanyak sembilan lagi pakej kerja Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah Fasa 1A dijangka siap sepenuhnya tahun ini sekali gus menjadi perkembangan besar dalam usaha mempercepat pelaksanaan projek infrastruktur utama di negeri ini.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, pakej kerja terbabit ialah Work Package (WP) 1, 3, 4, 7, 8, 10, 11, 29 dan 30.
“Kita sudah maklum bahawa empat WP sudah siap sebelum ini iaitu WP 5, WP 15, WP 21 dan WP 27 antara tahun 2023 hingga 2025.
“Pada tahun ini, berita baik untuk rakyat, sembilan lagi pakej kerja Pan Borneo 1A akan disiapkan,” katanya dalam sidang media di Wisma Pan Borneo, Wisma Pan Borneo hari ini.
Menurut beliau, empat lagi pakej kerja dijangka siap pada tahun depan membabitkan WP 2, WP 12, WP 19 dan WP 28.
Katanya, kerajaan menjangkakan 12 lagi pakej kerja siap pada 2028, tiga pakej pada 2029 manakala WP 26, WP 34 dan WP 35 bagi Pan Borneo 1A dan 1B dijangka selesai sepenuhnya pada 2030.
“Harapan saya selaku Timbalan Menteri, mana yang kita boleh pantaskan, kita pantaskan supaya banyak kemudahan prasarana untuk rakyat dapat diselesaikan lebih awal,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Ahmad berkata dua lagi laluan baharu melibatkan WP 6 dan WP 7 yang menghubungkan Putatan ke Manggatal tanpa melalui Kota Kinabalu dijangka dibuka sekitar Julai ini bagi mengurangkan kesesakan trafik di ibu negeri.
“Ini boleh meringankan kesesakan di Kota Kinabalu kerana pengguna yang tidak mempunyai urusan di bandar raya boleh terus menggunakan laluan tersebut,” katanya.
Beliau turut memaklumkan kerja pengalihan utiliti bagi Pan Borneo Fasa 1B melibatkan Sabah Electricity Sdn. Bhd., Jabatan Air dan Telekom Malaysia sudah dimulakan selepas isu pelantikan subkontraktor berjaya diselesaikan.
Menurutnya, kelewatan pelaksanaan sebelum ini berpunca daripada isu pengalihan utiliti, namun koordinasi bersama agensi utiliti kini dipantau setiap bulan melalui mesyuarat khas di bawah Kementerian Kerja Raya.
Mengulas isu kelewatan projek, Ahmad berkata masalah utama kontraktor dikenal pasti melibatkan aspek pengurusan projek dan pengurusan kewangan.
“Masalah kontraktor ini melibatkan dua perkara utama iaitu pengurusan projek dan pengurusan kewangan.
“Kita berharap dua masalah utama ini dapat diselesaikan oleh kontraktor dan setakat ini mereka memahami perkara tersebut,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata kerajaan pusat akan membuat keputusan segera berhubung kaedah penyelenggaraan pakej kerja yang telah siap sama ada menggunakan konsesi sedia ada atau konsesi baharu seperti dilaksanakan di Sarawak.
Katanya, buat masa ini Jabatan Kerja Raya Sabah melaksanakan penyelenggaraan asas termasuk kerja pemotongan rumput menggunakan peruntukan kerajaan negeri sementara menunggu keputusan muktamad di peringkat pusat.






