KOTA KINABALU: Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib menegaskan istilah “sekolah daif” dan “bangunan daif” adalah dua perkara berbeza serta tidak boleh disamakan sewenang-wenangnya demi kepentingan politik.
Beliau berkata, kenyataan yang dikeluarkan Naib Ketua Wira Warisan Pusat berhubung isu sekolah daif di Sabah disifatkan sebagai cubaan mengelirukan rakyat dan berpotensi menimbulkan persepsi negatif terhadap usaha kerajaan memperkukuhkan sistem pendidikan negeri.
Menurutnya, “sekolah daif” merujuk kepada keseluruhan sistem dan ekosistem persekolahan termasuk aspek pembelajaran, capaian internet, pengurusan sekolah, akses pendidikan serta keberkesanan sistem persekolahan.
Sebaliknya, katanya, “bangunan daif” hanya melibatkan keadaan fizikal bangunan sekolah yang memerlukan penyelenggaraan atau penambahbaikan infrastruktur tertentu.
“Terdapat sekolah yang bangunannya memerlukan naik taraf, namun sistem pembelajaran, pengurusan sekolah, komitmen guru serta pencapaian murid masih berada pada tahap baik dan konsisten.
“Oleh itu, adalah tidak tepat untuk melabel keseluruhan sekolah sebagai daif hanya berdasarkan keadaan fizikal bangunan semata-mata,” katanya dalam kenyataan media pada Selasa.
James berkata, Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KPSTI) bersama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah mempunyai naratif jelas bahawa usaha memperkukuh pendidikan negeri tidak hanya tertumpu kepada aspek fizikal bangunan, sebaliknya merangkumi keseluruhan ekosistem pendidikan termasuk pembangunan digital, capaian internet, kebajikan murid dan keberkesanan sistem pembelajaran.
Katanya, KPSTI tidak pernah menafikan masih terdapat cabaran pendidikan di Sabah termasuk isu keciciran pelajar, akses internet, pengangkutan serta kemudahan pendidikan di kawasan pedalaman dan pulau terpencil.
Malah, jelas beliau, perkara itu sentiasa diberi perhatian serius oleh kerajaan negeri bersama Kementerian Pendidikan Malaysia dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah melalui pelbagai inisiatif penambahbaikan secara berterusan.
Menurutnya, kerajaan negeri turut memperkenalkan 14 inisiatif pendidikan menerusi Pejabat Tugas-Tugas Khas di bawah KPSTI dan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) melibatkan bantuan pendaftaran IPT, bantuan komputer, bantuan peperiksaan, bantuan sekolah, bantuan PIBG, bantuan penyelenggaraan sekolah dan bantuan mahasiswa.
Dalam pada itu, James berkata KPSTI turut memohon peruntukan khas daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi pembelian smartboard untuk sekolah di Sabah supaya murid tidak ketinggalan dalam arus pendigitalan pendidikan.
Beliau berkata, usaha pemasangan internet di sekolah luar bandar melalui kerjasama dengan pihak YTL juga kini hampir 80 peratus siap bagi memastikan capaian pendidikan digital dapat dinikmati murid di kawasan pedalaman.
Selain itu, katanya, KPSTI telah memohon kepada Kementerian Pendidikan Malaysia supaya peruntukan pembinaan dan penyelenggaraan bangunan sekolah berskala 6 dan 7 ditambah memandangkan masih banyak bangunan sekolah lama memerlukan perhatian segera.
James berkata, kementeriannya juga menyokong pelaksanaan pembelajaran berasaskan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) melalui platform DELIMa selain memperluaskan penggunaan smartboard di sekolah bagi menjadikan kaedah pengajaran lebih interaktif, moden dan efektif.
“Pendidikan adalah soal masa depan anak-anak Sabah dan tidak seharusnya dijadikan bahan politik murahan demi kepentingan tertentu,” katanya.






