Maritim Malaysia Rampas 400 Liter Minyak Petrol Cuba Diseludup

Maritim Malaysia Rampas 400 Liter Minyak Petrol Cuba Diseludup

0
SHARE

SANDAKAN, SABAH – Sejumlah 400 liter disyaki minyak petrol yang diisi di dalam 20 tong telah berjaya dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan selepas ia dibuang ke laut ketika aksi kejar buru antara pihak Maritim Malaysia dan dua buah bot pancung disyaki penyeludup di sini pada petang Ahad.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, bot peronda Maritim Malaysia yang sedang dalam operasi pada pukul 3.10 petang mengesan dua bot pancung dalam keadaan mencurigakan di kedudukan utara Pulau Bai.

“Melihat kepada kejadian tersebut, pihak Maritim Malaysia kemudiannya mengarahkan bot suspek berhenti dengan menggunakan pembesar suara untuk pemeriksaan.

“Namun bot terbabit tidak memberikan kerjasama dan telah memecut laju sambil bertindak membuang 20 tong disyaki berisi petrol ke laut.

“Bot suspek kemudiannya menuju ke perairan cetek dan berbatu dalam usaha meloloskan diri daripada dikejar bot penguat kuasa,” katanya.

Beliau berkata kesemua minyak telah dirampas dan dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat. Kes disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Dalam satu kes yang berasingan, Zon Maritim Sandakan juga telah berjaya menahan sebuah bot nelayan tempatan yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 iaitu membawa 45 penumpang tanpa kebenaran pada hari yang sama.