Lelaki Cedera di Kaki, Terlibat Kemalangan Pertembungan Dua Lori di Jalan Berungis

Lelaki Cedera di Kaki, Terlibat Kemalangan Pertembungan Dua Lori di Jalan Berungis

0
SHARE

TUARAN: Seorang lelaki berusia 29 tahun cedera di kaki selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan pertembungan dua lori di Jalan Berungis, berhadapan YKL Borong Runcit, di sini, awal pagi Khamis.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, TPgB II Kurong Ak Beki berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.55 pagi.

Katanya, seramai sembilan anggota bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikerahkan ke lokasi sejauh empat kilometer dan tiba pada jam 3.03 pagi.

Setibanya di lokasi, pasukan mendapati kemalangan membabitkan sebuah lori treler dan sebuah lori ais batu yang bertembung.

Seorang mangsa lelaki berusia 29 tahun yang merupakan pemandu lori ais batu mengalami kecederaan di bahagian kaki dan berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba.

“Mangsa kemudian diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum dihantar ke Hospital Tuaran untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Kurong berkata, operasi ditamatkan pada jam 3.25 pagi selepas pasukan bomba memastikan keadaan di lokasi selamat.

Turut berada di lokasi ialah anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM.