
TAMPARULI, SABAH – TIGA (3) kampung terjejas oleh banjir di sini menerima sumbangan bantuan di bawah Program Sentuhan Kasih, kelmarin.
Program tersebut dilaksanakan secara kerjasama antara Mitatabang Komuniti, Kelab Kebajikan Raisul dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA SABAH).
Kampung yang terlibat ialah Kg. Kauluan, Kg. Norihot dan Kg. Telibong, kata Dr. Bonaventure Boniface, Presiden Mitatabang Komuniti.
“Penduduk kampung telah menerima sumbangan sebanyak 130 buah bakul makanan, sebuah bot, sebuah jet air (water jet), 100 pek mainan kanak-kanak dan pelitup muka…
“Bot yang disumbangkan itu adalah bagi membantu memberi persediaan menghadapi banjir bagi kampung yang mudah dinaiki air.
“Sementara set water jet yang disumbangkan adalah untuk memudahkan kerja-kerja pembersihan akibat banjir,” kata Dr. Boniface selepas menyampaikan sumbangan berkenaan dalam satu majlis penyerahan di sini, kelmarin.

Beliau berharap agar sumbangan ini sedikit sebanyak membantu golongan yang terjejas seperti warga emas, orang kurang upaya, ibu tunggal dan golongan yang kehilangan mata pencarian.
“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Huazong), Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS) dan Syarikat Gain Forlife Sdn. Bhd. di atas sumbangan kepada program ini,” katanya.
Beliau juga menyeru lebih banyak badan, institusi atau individu perseorangan untuk bersama-sama membantu golongan yang memerlukan.
Turut hadir dalam majlis berkenaan adalah Setiausaha Politik kepada Menteri Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah, Jelias Lintar, Ketua Kampung dan Jawatankuasa Pembanguann dan Keselamatan Kampung (JPKK).