KUALA LUMPUR: Seorang wanita yang dicampak keluar dari sebuah van sempat meminta bantuan pernafasan (CPR) sebelum disahkan meninggal dunia dalam kejadian tepi Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) berdekatan Kawasan Rehat dan Rawat Awan Besar di sini petang tadi.
Memetik Kosmo, saksi kejadian, Faizan Ahmad, 34, ketika kejadian dia sedang dalam perjalanan untuk ke pejabatnya sebelum kereta di hadapan brek mengejut.
“Kemudian saya nampak wanita itu telah bergolek di atas jalan raya. Kemudian saya dan orang ramai lain turun untuk lihat.
“Ketika itu wanita berkenaan masih hidup dan dia meminta kami di lokasi untuk memberikan bantuan pernafasan (CPR). Saya terus buat panggilan kecemasan.
“Saya tidak berani sebab terlampau banyak darah, tetapi ada individu lain yang berikan bantuan pernafasan. Sehinggalah ambulans sampai, wanita itu sudah meninggal dunia,” katanya.
Katanya lagi, keadaan wanita itu dilihat sangat teruk dan ada beberapa lebam pada badan wanita tersebut.
Bercerita lanjut, Faizan berkata dia tidak memberikan perhatian kepada van berkenaan kerana ada sebuah lagi kenderaan di hadapan keretanya.
“Namun van itu memecut laju selepas mencampak wanita tersebut ke atas jalan raya,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.58 petang.
Ujarnya, pengadu memberitahu terlihat seorang wanita dicampak dan jatuh dari sebuah van sebelum kenderaan itu melarikan diri.
“Mangsa wanita berusia 44 tahun beralamat Menglembu, Ipoh, Perak disahkan maut di lokasi oleh petugas hospital,” katanya.