SEMPORNA, SABAH – Kejadian bot karam yang mengorbankan nyawa seorang pelancong pada Isnin berlaku di perairan Pulau Timba-Timba, jelas Pengarah Taman-Taman Sabah (TTS) Dr Maklarin Lakim.
Dalam sebuah kenyataan hari ini, beliau berkata Pulau Timba-Timba terletak di luar Taman Laut Tun Sakaran dan oleh itu, ia bukannya di bawah bidang kuasa TTS.
Dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, mangsa berusia 38 tahun meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital manakala lapan lagi pelancong berjaya diselamatkan.
Kesemua mangsa terjun ke laut sebelum dibantu bot berhampiran. Bagaimanapun, identiti mahupun kewarganegaraan mereka tidak didedahkan.
Difahamkan bot yang dinaiki mereka bocor di mana air masuk dengan pantas mengakibatkan ia karam.
Sehubungan dengan itu, pihak berkuasa telah menahan seorang lelaki tempatan dan tiga warga asing berusia 22 hingga 40 tahun bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Semporna, Supt Mohd Farhan Lee Abdullah, berkata polis menerima laporan pada pukul 4 petang.
“Siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
“Semua suspek akan dibawa ke mahkamah majistret untuk direman,” katanya.
Beliau menasihatkan pemilik bot supaya berhati-hati semasa mengendalikan bot dan menyediakan peralatan keselamatan seperti jaket keselamatan.