PUTATAN, SABAH – Kira-kira 300 penyokong PKR di Putatan kini menyatakan sokongan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah Sahari, satu langkah yang menurutnya lahir daripada kekecewaan terhadap kepimpinan parti dan keyakinan baharu terhadap wakil tempatan.
Awang Ahmad Sah, Penyandang yang sebelum ini bersama GRS, mendakwa pengerusi parti itu menasihatkannya supaya tidak mendedahkan pergolakan dalaman itu kerana bimbang memberi gambaran buruk terhadap Perdana Menteri.
Namun sebagai calon bebas, beliau berkata kini beliau bertanding atas pendirian sendiri.
“Kita pandang ke hadapan dan mahu kekal kuat. Saya bukan main-main sebagai calon,” katanya.
Menambah lagi keunikan situasi itu, adiknya Awang Husaini merupakan Ketua PKR Putatan.
Beliau berkata hubungan keluarga tidak terjejas meskipun berbeza haluan.
“Saya bukan lawan adik saya. Saya lawan demi Petagas,” tegasnya.
Beliau mengakui meninggalkan GRS tanpa restu Datuk Seri Hajiji Noor.
Walaupun masih “sayang” GRS, beliau menegaskan perlu bergerak sebagai bebas demi pengundi.
Beliau berkata beliau sentiasa membantu rakyat tanpa mengira parti melalui projek, rumah SMJ dan biasiswa.
“Orang ingat saya sebagai pemimpin yang adil untuk semua,” katanya sambil mengingatkan agar pemimpin tidak menyalahgunakan dana awam.
“Kalau mahu kaya, jadilah ahli perniagaan atau terus saja jadi pencuri. Jangan jadi ahli politik,” katanya.
Bekas Ketua Srikandi PKR Putatan, Nurardiana Redzuanto, 25, berkata sokongan anak muda kini memihak kepada Awang Ahmad Sah selain mengakui PKR Putatan sedang berpecah.
“Sepuluh AJK Bahagian telah meletak jawatan dan sehingga 700 lagi dijangka mengikut jejak yang sama,” dakwanya.
Beliau berkata daripada 4,999 ahli berdaftar, sebahagian besar kini terpisah yang kebanyakannya daripada golongan muda.
Dalam ucapannya, Awang Ahmad Sah menyeru kepada penyatuan Sabah dan penghayatan semula MA63, sambil menegaskan rakyat negeri itu terlalu lama “dipermainkan” dan hanya dihargai apabila pemimpin pusat hadir membawa bantuan.
Beliau turut menyentuh tekanan ekonomi, penyusutan sumber minyak dan keperluan perancangan tanah yang lebih baik, termasuk pembangunan bertingkat pada masa depan.
Beliau menegaskan Sabah perlu diterajui parti tempatan dan calon bebas mampu menjadi penentu kerajaan. Walaupun masih menghormati GRS, beliau kecewa apabila kerusi diberikan kepada “parti Malaya”.






