Kanak-Kanak 9 Tahun Ditemui Lemas di Sungai Kalipuon, Pitas

Kanak-Kanak 9 Tahun Ditemui Lemas di Sungai Kalipuon, Pitas

0
SHARE

PITAS: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 9 tahun ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai di Kampung Kalipuon, Pitas, pada tengah hari Ahad.

Menurut laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah, panggilan kecemasan diterima pada jam 11.40 pagi melalui MERS999 melaporkan seorang kanak-kanak hilang selepas bermain di tebing sungai sebelum terjatuh ke dalam air.

“Enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pitas bergegas ke lokasi yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari balai, dan melancarkan operasi mencari menggunakan kaedah Surface Water Rescue,” kata seorang pegawai jurucakap.

Katanya mangsa ditemukan pada jam 12.40 tengah hari di kawasan sama.

“Pasukan bomba memberikan rawatan CPR, namun kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia yang berada di lokasi,” tambahnya.

Mayat kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dengan operasi ditamatkan selepas pihak bomba memastikan kawasan tersebut selamat.