Isteri Datuk Nizam Didakwa Terima Ugutan Rogol, Penduduk Apas Gesa Pihak Berkuasa...

Isteri Datuk Nizam Didakwa Terima Ugutan Rogol, Penduduk Apas Gesa Pihak Berkuasa Bertindak Segera

0
SHARE

TAWAU: Suasana kempen Pilihan Raya Umum Sabah di Dewan Undangan Apas dikejutkan dengan pendedahan serius apabila sekumpulan penduduk dan pengundi tampil membuat laporan polis berhubung penyebaran fitnah keterlaluan terhadap calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan termasuk ancaman dan ugutan rogol yang ditujukan kepada isteri beliau.

Menurut wakil kumpulan pengundi tersebut, laporan polis telah dibuat semalam bagi membendung penyebaran dua infografik palsu yang menggunakan imej dan nama Nizam dengan dakwaan berunsur perkauman serta tuduhan rasuah.

“Assalamualaikum dan selamat pagi. Kami sebagai pengundi di DUN N.68 Apas telah membuat satu laporan polis kelmarin berkaitan penyebaran bahan fitnah yang menggunakan nama dan imej Datuk Nizam di media sosial,” kata mereka dalam satu kenyataan di sini, hari ini

Beliau berkata, dua elemen utama fitnah itu termasuklah dakwaan kononnya Datuk Nizam berkata “Saya tidak perlukan sokongan orang Bugis” serta tuduhan bahawa beliau meminta komisen “MR 30%” untuk projek Majlis Perbandaran Tawau.

Namun yang lebih mengejutkan, kumpulan pengundi berkenaan turut mendedahkan satu laporan tambahan dibuat terhadap seorang individu yang mengeluarkan ancaman rogol terhadap isteri Nizam.

“Saya berani katakan di sini, cybertrooper ini sudah melampau… kurang ajar. Ada juga laporan kami buat ke atas seorang netizen yang membuat ancaman dan ugutan rogol terhadap isteri Datuk Nizam,” tegasnya.

Beliau menasihatkan pelaku fitnah dan ugutan supaya menghentikan perbuatan tersebut serta memberi amaran bahawa mereka tidak akan berdiam diri.

“Kepada cybertrooper biadap dan kurang ajar ini, sudah-sudahlah. Jika ada lagi unsur fitnah, saya dan kawan-kawan takkan pernah bosan membuat laporan kepada pihak berkuasa. Berani buat, berani tanggung,” katanya.

Pengundi Apas itu turut menggesa pihak PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk bertindak segera bagi mengesan serta mendakwa individu-individu yang terlibat.

“Saya berharap pihak berkuasa dapat menangkap pelaku ini dengan segera, dan MCMC mengambil tindakan terhadap akaun serta halaman tersebut,” tambahnya.

Kumpulan pengundi berkenaan menegaskan bahawa serangan berbentuk ugutan, fitnah dan perkauman seperti ini tidak seharusnya dibiarkan mempengaruhi proses demokrasi di Apas.