TAWAU: “Ini kerja politik kotor!” tegas calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi Dewan Undangan (DU) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berhubung dua infografik palsu yang tular di media sosial dan cuba mengaitkan beliau dengan kenyataan menghina kaum Bugis serta tuduhan komisen “MR 30%”.
Nizam menyifatkan serangan terancang itu sebagai cubaan jahat untuk merosakkan reputasinya sepanjang kempen Pilihan Raya Umum (PRU DU Sabah ke-17).
Menurutnya, dua poster berasingan yang memaparkan kononnya beliau berkata “Saya tidak perlukan sokongan orang Bugis” serta dakwaan meminta komisen 30 peratus bagi projek Majlis Perbandaran Tawau adalah 100 peratus fitnah dan rekaan pihak tertentu.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya. Saya tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan menghina mana-mana kaum atau terlibat dengan komisen seperti didakwa. Ia adalah fitnah jahat yang tidak pernah keluar daripada mulut saya dalam apa-apa bentuk ucapan, kenyataan atau bahan kempen,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Nizam berkata, beliau mempunyai hubungan rapat dan kerja kolaboratif yang kukuh dengan pelbagai komuniti di Tawau, termasuk Persatuan Komuniti Bugis Sabah serta beberapa pertubuhan etnik lain. Oleh itu, fitnah perkauman yang disebarkan jelas bertentangan dengan rekod perkhidmatannya selama ini.
“Bagaimana saya hendak menghina mereka, sedangkan saya bekerja bersama mereka selama bertahun-tahun? Ini jelas cubaan pihak tertentu untuk mengapi-apikan sentimen kaum demi meraih keuntungan politik,” ujarnya.
Sehubungan itu, Nizam telah mengarahkan pegawai dan pasukan peguamnya untuk membuat laporan polis segera, menyerahkan semua bukti berkaitan, dan membuka ruang kepada siasatan penuh.
Beliau turut menegaskan bahawa tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana individu yang menghasilkan atau menyebarkan bahan fitnah tersebut.
“PRU Sabah sepatutnya berlangsung dengan bermaruah, berintegriti dan matang. Bukan dengan taktik jijik seperti ini. Saya akan terus berkempen secara bersih dan fokus kepada keperluan rakyat Apas,” katanya.
Beliau menyeru masyarakat agar tidak terpengaruh dengan propaganda media sosial dan menasihati orang ramai supaya tidak menyebarkan poster palsu berkenaan.
“Jangan biarkan politik kotor merosakkan perpaduan kita,” tegasnya.






