18 Buah Rumah Kg. Kuala Abai Kota Belud Musnah Terbakar

18 Buah Rumah Kg. Kuala Abai Kota Belud Musnah Terbakar

0
SHARE

KOTA BELUD: Sebanyak 18 buah rumah di Kg. Kuala Abai musnah dalam kebakaran kira-kira 3.30 petang Selasa.

Walau bagaimanapun, usaha sama anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kota Belud, Tuaran dan Pasukan Sukarela Kulambaindan dan Pangkal Abai berjaya menghentikan api dari merebak ke 35 buah rumah dari terus terbakar.

Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah melaporkan telah menerima panggilan kecemasan berhubung kes pada jam 3.43 petang.

Katanya, jentera sampai ke lokasi berjarak 13 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Belud pada jam 3.58 petang.

“Kebakaran melibatkan sebanyak 18 buah rumah jenis separuh kekal dengan 3600 meter persegi keluasan keseluruhan kawasan kebakaran.

“Seramai 22 anggota pasukan Bomba bertindak memadam kebakaran dengan sumber air dari tangki jentera dan sungai berhampiran.

“Tiada kecederaan dan kematian mangsa terlibat,” kata seorang jurucakap agensi sambil menambah operasi terkawal pada jam 5.20 petang dan ditamatkan pada jam 8.40 malam.