KOTA KINABALU: Pelaksanaan projek pembangunan menerusi Kerjasama Awam-Swasta (PPP) dan Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) perlu mengambil kira kemampuan kewangan jangka panjang Sabah agar tidak membebankan generasi akan datang.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, pembiayaan sektor swasta bukan bermakna kerajaan memperoleh sesuatu secara percuma kerana komitmen kewangan masih perlu ditanggung dalam jangka panjang.
“Kerajaan perlu memastikan setiap komitmen kewangan yang dibuat hari ini tidak menjadi beban kepada generasi akan datang. Pembangunan bukan sekadar membina infrastruktur, tetapi memastikan kemampuan negeri untuk menanggung kosnya secara berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar PPP & PFI: From Policy to Strategy 2026 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah, di sini, pada Khamis.
Masidi berkata, setiap cadangan projek perlu dinilai secara teliti dengan mengambil kira keseluruhan kos sepanjang hayat projek, termasuk pembiayaan, operasi, penyelenggaraan dan kualiti perkhidmatan kepada rakyat.
Beliau turut menegaskan pembahagian risiko antara kerajaan dan sektor swasta perlu adil serta munasabah supaya kerajaan tidak menanggung keseluruhan risiko dan kerugian sekiranya sesuatu projek berdepan masalah.
Selain itu, aset yang diserahkan semula kepada kerajaan selepas tamat tempoh konsesi perlu berada dalam keadaan baik dan boleh digunakan tanpa memerlukan kos pembaikan yang besar.
Sehubungan itu, kerajaan negeri telah meluluskan Garis Panduan Pelaksanaan Kerjasama Awam-Swasta Kerajaan Sabah Tahun 2026 bagi memastikan cadangan projek dinilai berdasarkan keperluan pembangunan, daya maju ekonomi dan manfaat kepada rakyat.
“Ukuran sebenar kejayaan sesuatu projek bukanlah berdasarkan jumlah pelaburan atau nilai kontrak semata-mata, tetapi sejauh mana projek tersebut dapat dilaksanakan, memberikan manfaat kepada rakyat dan meningkatkan kualiti hidup mereka serta meninggalkan nilai yang berkekalan kepada negeri Sabah,” katanya.






