JKDM Sabah Sekat Rokok ‘Sejuk’ Baru Tembus Pasaran

JKDM Sabah Sekat Rokok ‘Sejuk’ Baru Tembus Pasaran

0
SHARE
Cheong (dua dari kanan) menunjukkan barang rampasan...

KOTA KINABALU, SABAH – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas rokok seludup bernilai RM1.99 juta dalam satu serbuan ke atas sebuah lori di Jalan Penampang – Papar lama pada Sabtu lepas.

Pegawai JKDM menemui 100,500 kotak rokok berjenama Platinum, Premium Menthol dan Orkid pada ruangan belakang kenderaan terbabit dalam operasi 3.40 petang itu.

Pemangku Timbalan Pengarah Kastam Sabah, Cheong Yu Min berkata barang seledup itu secara keseluruhan bernilai RM139,100 manakala anggaran cukai terlibat bernilai RM1,860,272.

“Dua lelaki tempatan berusia 26 dan 62 tahun turut ditahan untuk soal siasat lanjut. Sebuah lori ‘bonded’ tiga tan yang digunakan bernilai RM25,000 juga dirampas…

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 di mana jika sabit kesalahan, denda tidak kurang sepuluh kali ganda nilai barang atau RM100,000, atau penjara tidak kurang enam tahun akan dikenakan bagi kesalahan pertama,” katanya dalam sidang media hari ini.

Sementara itu, beliau menasihati orang ramai agar mengelak daripada membeli barangan seludup sama ada rokok, arak, mercun, dadah atau kenderaan dan lain-lain, dan melaporkan aktiviti tersebut kepada JKDM.

“Perdagangan seludup bukan sahaja merugikan negara tetapi menjejaskan keselamatan negara dan kesejahteraan rakyatnya,” tambahnya.

Cheong berkata Jabatan tersebut memberi jaminan bahawa identiti pemberi maklumat adalah terpelihara.