KOTA KINABALU: Lapan daerah termiskin di Sabah telah menunjukkan penurunan jumlah Ketua Isi Rumah (KIR) kategori miskin tegar setakat 30 Jun 2024.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, lapan daerah itu termasuklah Tongod, Beluran, Pitas, Kinabatangan, Kota Marudu, Tuaran, Ranau dan Lahad Datu.
“Daerah Tongod menurun daripada 649 KIR kepada 205 KIR, daerah Beluran berkurangan daripada 1,101 KIR kepada 334 KIR, daerah Pitas 1,642 KIR kepada 443, keempat daerah Kinabatangan daripada 483 KIR menurun kepada 168 KIR.
“Manakala, daerah Kota Marudu daripada 1,391 kepada 253 KIR, daerah Tuaran 1,045 KIR kepada 282 KIR, daerah Ranau, 1,205 KIR kepada 239 dan yang terakhir daerah Lahad Datu daripada 526 kepada 529 KIR,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, hari ini.
Hajiji menyatakan itu bagi menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengenai langkah yang diambil untuk memastikan sasaran yang ditetapkan Perdana Menteri untuk menoktahkan kemiskinan tegar di negeri Sabah pada Julai ini.
Dalam pada itu, Hajiji menambah, kerajaan negeri amat menggalakkan dam mementingkan penglibatan komuniti dalam pembuatan keputusan untuk menangani miskin tegar di negeri ini.
“Penglibatan, sokongan dan kerjasama komuniti dalam pembuatan keputusan sangat penting bagi memastikan pelbagai program dan inisiatif pembasmian kemiskinan tegar yang dilaksanakan berpaksikan kepada keperluan sebenar dan memenuhi ekspektasi komuniti setempat,” jelasnya.