BEAUFORT, SABAH – Tabung Makanan (Food Bank) Prihatin Lumadan terus mendapat perhatian daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Haji Ruslan Muharam menerima sumbangan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Guan Yi Tang (Shi Niu Mao Guan Di Yin Dian) Penampang, Sukarelawan Tabung Darah Beaufort dan Bulan Sabit Merah Beaufort kelmarin.
Simbolik sumbangan ini diterima daripada Tan Kian Boon, yang mewakili NGO ini di dua Food Bank Prihatin Lumadan di Masjid Al Gaffar Kampung Luagan dan Masjid An Nur Kg. Bukau.
Hj Ruslan seterusnya menyampaikan bahan sumbangan daripada NGO berkenaan untuk di agih-agihkan kepada dua buah kampung iaitu Kg. Rompong, Luagan dan Kg. Tamalangalong, Bukau.
“Kedua-dua kampung ini merupakan kampung yang terjejas oleh banjir dan terputus hubungan (jalan raya) akibat banjir baru-baru ini,” kata Hj Ruslan dalam kenyataan medianya hari ini.
Pengerusi Perkasa Realty Sdn Bhd itu juga mengucapkan terima kasih kepada NGO terlibat, pemimpin kampung, AJK Masjid dan AJK Food Bank Prihatin Lumadan di atas keprihatian dan penglibatan penuh dalam misi membantu mangsa banjir yang terjejas.