Kerat Ibu Akibat Tidak Puas Hati Pembahagian Harta Pusaka

Kerat Ibu Akibat Tidak Puas Hati Pembahagian Harta Pusaka

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

PARIT BUNTAR, PERAK – Seorang lelaki berusia 42 tahun ditahan polis susulan penemuan 15 potongan daging menyerupai anggota badan manusia dalam tangki kumbahan di sebuah rumah di Taman Kerian, di sini, pada Sabtu.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalatrash Wahid, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 3.30 petang.

Sepasukan anggota dari bahagian siasatan jenayah dibantu Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak kemudian segera dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Hasil pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian menemukan cebisan daging dipercayai anggota badan seorang wanita warga emas berusia 68 tahun…

“Susulan itu, pihak polis menahan seorang suspek lelaki berusia 42 tahun yang juga anak kepada mangsa,” katanya dalam satu kenyataan media.

“Kita (polis) turut merampas sebilah parang, dua pisau dan barangan yang digunakan suspek untuk melakukan pembunuhan itu,” tambahnya.

Menurut Mior, siasatan awal mendapati punca kejadian adalah disebabkan suspek tidak berpuas hati dengan pembahagian harta pusaka peninggalan bapanya.

Tambahnya, suspek dan ibunya (mangsa) menetap di taman itu sejak 12 tahun lalu selepas kematian bapanya.

“Kejadian dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek kepada mangsa terhadap pembahagian harta pusaka.

“Suspek kini ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.