KPDN Gunakan Mesin Pembungkusan ‘Retort’ Untuk Elak Pembaziran, Manfaatkan B40

KPDN Gunakan Mesin Pembungkusan ‘Retort’ Untuk Elak Pembaziran, Manfaatkan B40

0
SHARE
Kpdn
Georgie (kanan) bersama Abdul Kadir (kedua kiri) bergambar bersama mesin pembungkusan makanan retort ( Sumber Foto: Ihsan KPDN Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sabah terus komited dalam memperkasakan lagi program Food Bank Malaysia (FBM) dengan penempatan mesin pembungkusan retort di premis pengusaha industri makanan di negeri ini.

Ianya bagi membantu rakyat dan pengguna dalam memanfaatkan lebihan makanan yang masih elok dan selamat untuk dimakan daripada pembaziran.

Sebagai perintis projek ini di negeri Sabah, KPDN Sabah telah menyerahkan satu unit mesin pembungkusan retort pada 2 Februari 2023 (Khamis) kepada BTC Maju Holding Sdn. Bhd. melalui Datuk Abdul Kadir M.E Sikkandar selaku Ketua Pegawai Eksekutif bagi syarikat tersebut.

Pengarah KPDN Sabah, Georgie Abas berkata inisiatif tersebut merupakan kaedah terbaik dalam mengendalikan lebihan makanan yang dihasilkan oleh industri makanan, peruncitan, hotel dan restoran sekali gus dapat membantu mengurangkan kadar pembaziran dalam negara.

“Teknologi pembungkusan retort adalah kaedah pengawetan makanan tanpa menggunakan bahan kimia serta menggunakan teknik aseptik iaitu bebas dari sebarang mikroorganisma membiak.

“Ianya menggunakan haba yang tinggi (pensterilan) untuk membunuh atau melumpuhkan bakteria yang berbahaya. Jangka hayat lebihan makanan yang melalui proses retort ini juga mampu ditingkatkan antara 18 hingga 24 bulan.

“Pelaksanaan proses pembungkusan secara retort di bawah Program FBM melibatkan pelbagai pihak iaitu Sekretariat Food Bank Malaysia (SFBM), KPDN Negeri, industri perhotelan, katering dan pengeluar produk makanan,” katanya.

Selain itu katanya, golongan sasar bagi program ini pula tertumpu kepada keluarga yang tergolong kurang berkemampuan dalam kumpulan B40 (diutamakan kepada keluarga mempunyai tanggung Orang Kelainan Upaya (OKU) dan warga emas), keluarga yang mengalami atau terkesan oleh bencana alam seperti banjir dan kebakaran, lelajar yang tergolong dalam kumpulan B40 (diutamakan kepada pelajar yang lahir dari keluarga berpendapatan bawah RM 1,000) serta pelajar yang memerlukan dan dikenal pasti dari semasa ke semasa.

Beliau berkata KPDN Sabah amat mengalu-alukan syarikat-syarikat atau pasarpasar raya yang berpontensi untuk menjadi penyumbang kepada projek ini sekaligus dapat membantu dalam mengurangkan kadar pembaziran dalam negara.

“Pada masa yang sama, inisiatif ini dapat membantu rakyat dan pengguna dalam memanfaatkan lebihan makanan yang masih elok dan selamat untuk dimakan daripada dibazirkan.

“Semasa penyerahan mesin pembungkusan retort tersebut, perbincangan mengenai pelaksanaan Program Menu Rahmah juga telah diadakan dengan Datuk Abdul Kadir M.E Sikkandar, yang juga merupakan Penasihat Dewan Perniagaan India Muslim Sabah,” katanya.