Kerajaan komited percepat pembangunan infrastruktur, kemudahan digital di Sabah, Sarawak

Kerajaan komited percepat pembangunan infrastruktur, kemudahan digital di Sabah, Sarawak

0
SHARE

KUALA LUMPUR, 10 Oktober – Kerajaan komited mempercepatkan pembangunan infrastruktur di Sabah dan Sarawak, termasuk menerusi pelaksanaan projek Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) bagi memastikan kedua-dua wilayah itu menikmati kemudahan digital setara dengan Semenanjung.

Projek SALAM sepanjang 3,190 kilometer dengan kos RM2 bilion dilaksanakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sebagai usaha memperkukuh sambungan internet berkelajuan tinggi di seluruh negara.

Ia membabitkan laluan dasar laut dari Sedili di Johor ke Kuching dan Sibu di Sarawak, seterusnya ke Tuaran, Kudat, Pulau Banggi, Sandakan dan Tawau di Sabah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini, berkata langkah itu sejajar dengan tekad Kerajaan MADANI memastikan manfaat digital dinikmati secara saksama di Sabah, Sarawak dan Semenanjung.