Kerajaan kutip semula RM15.5 bilion hasil ketirisan akibat rasuah, penyewelengan

Kerajaan kutip semula RM15.5 bilion hasil ketirisan akibat rasuah, penyewelengan

0
SHARE

KUALA LUMPUR, 10 Oktober – Kerajaan berjaya mengutip RM15.5 bilion dalam tempoh 2024 dan 2025, hasil daripada tindakan rampasan dan kutipan penalti pihak berkuasa negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kutipan itu mencatat sejarah sendiri hasil tindakan tatakelola yang baik dilakukan oleh kerajaan.

“Sejak di bawah MADANI, badan-badan penguat kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) berjaya memperoleh hasil rampasan dan kutipan penalti hampir 15.5 bilion ringgit.

“Terbaru, PDRM berjaya menumpaskan sindiket haram terancang di Pulau Pinang dan Pelabuhan Klang.

“Demikian maksud kami tatkala menekankan tatakelola dalam pemerintahan. Bayangkan wang yang disakau dan dirompak yang dapat dikembalikan dalam tempoh dua tahun mencecah 15.5 bilion ringgit

“Jadi untuk apa lagi kita kenakan cukai, jika kita boleh elakkan ketirisan, rasuah dan penyelewengan.

“Segala ketirisan ini berlaku kerana kurangnya tekad politik selain retorik bicara. Tindakan kita sudah lakukan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Justeru, Anwar berkata, pada tahun hadapan, keupayaan badan penguat kuasa SPRM, PDRM, KPDN, JKDM dan MyCC ditingkatkan melalui latihan serta perolehan aset dengan peruntukan lebih RM700 juta.