Anak Muda Diseru Semak Daftar Pemilih, Sokong Pembangunan Berterusan di Kundasang

Anak Muda Diseru Semak Daftar Pemilih, Sokong Pembangunan Berterusan di Kundasang

0
SHARE

RANAU: Golongan belia berusia 18 tahun ke atas diseru supaya menyemak status daftar pemilih masing-masing sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang dijangka berlangsung tahun ini.

Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Yubidi Gompoyo berkata, tindakan itu penting bagi memastikan sokongan padu dapat memberi kemenangan kepada GRS yang lebih besar dalam PRN yang akan datang.

Kemenangan GRS akan memastikan kesinambungan pembangunan di seluruh Negeri Sabah termasuk kawasan Kundasang.

Beliau menekankan pentingnya kestabilan politik demi kelangsungan pembangunan.

Yubidi berkata demikian ketika mewakili Dr. Joachim merasmikan Program Komuniti Sihat dan Selamat yang diadakan di Kampung Pinawantai, di sini pada Jumaat (2 Mei).

Program berkenaan berjaya menghimpunkan penduduk kampung serta komuniti sekitar dalam usaha memperkukuh kesedaran mengenai aspek kesihatan dan keselamatan.

Ia dianjurkan oleh Persatuan Penduduk Kampung Pinawantai dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pinawantai.

Menurut Yubidi, program seumpama itu sangat signifikan kerana bukan sahaja meningkatkan pengetahuan masyarakat tentang isu-isu kesihatan dan keselamatan, malah turut mempererat hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk.

“Kerjasama agensi kerajaan seperti Jabatan Kesihatan Ranau, Jabatan Bomba dan Penyelamat Ranau serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ranau amat dihargai. Ceramah dan tunjuk ajar mereka memberikan manfaat besar kepada penduduk,” katanya.

Antara pengisian utama program termasuk saringan kesihatan percuma dan ceramah berkaitan pencegahan penyakit, keselamatan kebakaran serta langkah menjaga keselamatan diri dan komuniti.

Yubidi turut menyarankan agar program seumpama ini diteruskan secara berkala dengan menambah aktiviti seperti bengkel kesedaran kesihatan mental dan inisiatif menangani isu sosial.

Beliau menyeru agar komuniti Kampung Pinawantai dan kawasan sekitarnya memanfaatkan peluang yang diberikan, serta menjadikan kampung mereka sebagai model komuniti sihat dan selamat.

Pihak penganjur dalam masa sama merakamkan penghargaan atas sumbangan bakul makanan daripada Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang yang diagihkan kepada penduduk memerlukan.

Mereka turut memohon sokongan dana bagi meneruskan penganjuran program-program komuniti pada masa depan.

Yubidi turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur atas jemputan untuk merasmikan program berkenaan.